PROSES MENDAKAP KESUKARAN/REMEH/BALA DALAM HIDUP
Tanpa sedar dilalui, diemosikan, didebatkan, dibutakan atau paling tidak disaksikan dalam diam. Setelah gagal menyaring akibat lemah nafsu dan mental, segala laluan dan persoalan akan jadi drama hidup. Ditelan atau dijadikan pemangkin debat/soal/tikai/sesal/anut manusia.
Tidaklah mahu diulang bicara tentang lapisan manusia yang hadir dari pelbagai kelemahan dan kekuatan lagi kerana semua itu kita sudah sedia maklum.
Bersandarkan pada keadilan kita tercari cari maksud hidup yang sebenar. Diukur dengan melihat manusia sekeliling yang dianggap jaya atau gagal. Mencuba berat adakalanya menjadikan 24 jam kurniaan sebagai proses: Belajar, Usaha, Serapan, Mengidola, Berharap, Rungutan, Meraikan, Kuat, Kecewa atau apa apa sahaja termasuk bila melintasi hal hal hidup (budaya, bangsa, negara dan agama)
Dengan pelbagai pilihan yang terpampang di hadapan dan kata penyedap bahawa peluang dan pilihan tidak berbatas, akibat silap cara dan falsafah, manusia menjebak diri dalam perangkap yang macam macam. Pergelutan untuk keluar juga mampu dijadikan drama hidup di samping membuahkan kisah baharu. Begitulah seadanya.
Dalam segala kekaburan, kita masih lagi berego mampan.
Pelbagai alasan akan diangkat jadi perisai, kerana menganggap hidup sebagai medan perang. Tambah buruk kalau sebarang kekalahan itu dianggap terakibat oleh salah orang lain. Menyalahkan orang lain lebih mudah berbanding tunduk insaf mengkaji selidik lemah diri.
Azalinya manusia hadir dengan pelbagai persoalan ketika memilih landas hidup masing masing. Aturan aturan yang diperturunkan oleh ketua keluarga, ketua tempat cari makan, ketua pimpinan setempat, ahli politik atau siapa sahaja yang berada di atas. Ada yang selesa digerak sebagai patung bertali, bersoal dalam diam dan berusaha untuk bebas. Tanpa sedar ramai yang berdegar degar menjadi rekrut untuk segolongan pertubuhan cara hidup manusia.
Parah sekiranya manusia gagal memaafkan diri, takut bertanya, rela dalam paksa dan menjadi pak turut. Apa salahnya kalau menurut sistem yang mahu dipatuhi kerana selesa dan bahagia? Salah sekiranya falsafah hidup yang tidak selari dituruti sambil mengeluh tersiksa berpanjangan.
1. Takut sekiranya tidak berada dalam kumpulan majoriti
2. Menghakimi orang lain hanya kerana mereka tidak sama falsafah
3. Bercerita tentang hal hal kabur masa depan dan lalu
4. Menetapkan salah/benar tingkah orang lain
5. Berpanjangan merasa tidak puas sebagai manusia, gagal menikmati detik waktu ketika hidup
Semua kekaburan dan khilaf di atas harus dilihat dengan teliti. Dianggap sebagai cabaran atau dugaan selagi menjadi manusia, tidak kira apa tindakan kamu selagi kamu selesa atas landasan gerak hidup menuju titik tumpu, singgah untuk menilai, diluahkan kalau tidak mampu ditelan, membina ruang baharu jika perlu, tidak ada sekelumit nafi pura pura, tidak menyukarkan orang lain, sentiasa berbekalkan alasan kukuh peribadi dan tahu bila untuk keluar dari lingkungan yang tidak ada keterlibatan secara sopan atau perkara merugikan masa.
Memang betul kita lebih kukuh bergerak secara berkumpulan, namun tidak menjadi salah untuk bergerak secara sendirian demi keselesaan diri. Akal dan sensitiviti dipertajamkan dari waktu ke waktu, kesudian menjadi lebih terbuka (turut atau bantah soal ke 2).
Manusia menjadi lebih komplikated berlapis akibat gangguan rasa ikatan, ralat, takut, peduli, dominan, iri, cemburu dan macam macam lagi. Hari ini kita duduk dan tumpukan pada sifat kita selama ini... adakah hal tersebut yang kita pura pura lupa? Apakah kita bahagia menyertai kumpulan? Selesakah kita membentuk pemikiran peribadi? Berdikari setakat mana? Ada ragu ragu yang takut untuk kita suarakan? Suasana bosan yang kita tidakkan? Memaksa diri atau paksa orang lain?
Jadi kamu temui jawapan kenapa dalam beberapa situasi, akan diungkapkan kata, "maaf, tinggalkan aku sendirian, please! Leave me alone,"
Wah... 3 hari 3 malam juga tidak mampu habis difikirkan bukan?

YOU ARE READING
RUANG KATA KATA
PoetrySelain dari bisu dan tuli, kita masing masing mampu meluahkan kata kata yang beriring hasrat dizahirkan jadi nyata. Ada ketikanya terkubur begitu sahaja, hilang di dalam hati manusia. Ruang ini membenarkan aku menongkah segala resah, bahagia dan kel...