Selain dari bisu dan tuli, kita masing masing mampu meluahkan kata kata yang beriring hasrat dizahirkan jadi nyata. Ada ketikanya terkubur begitu sahaja, hilang di dalam hati manusia. Ruang ini membenarkan aku menongkah segala resah, bahagia dan kel...
Hal hal tua selalunya sensitif pada kebanyakan orang. Kata gelar TUA seringnya jadi sesuatu yang taboo. Saya kembali memikirkannya setelah ditanya oleh anak muda, apa perasaan mama setelah menjangkau usia emas, 54 tahun secara tepat.
Sebagai manusia kreatif saya boleh saja mengungkapkan kata hikmat Inggeris Age Is Only A Number agar segala perbualan tamat di situ sahaja. Namun frasa tersebut bagaikan sesuatu yang lucu. Dibayangkan sebagai nenek yang hidup dalam penafian. Percayalah saya sering tertawa mendengarnya.
Antara sebab saya tidak kisah pada hal hal usia, mungkin kerana tidak jatuh dalam kategori jelitawan sewaktu muda. Rupa paras dan tubuh badan ketika remaja jatuh dalam kategori TIDAK CANTIK mengikut skala ukuran masyarakat sekeliling. Cukuplah dinikmati kata pujian bahawa: "Suara kamu sedap, cara bicara kamu jelas, pencapaian akademik kamu membanggakan atau cantiknya pandai kamu melukis. (hal hal nilaian yang menjamu emosi bahagia sewaktu membesar)"
Sesekali apabila dipuji oleh orang bahawa diri ini cantik, ianya mampu menumpahkan airmata. Selalunya yang memuji adalah mereka yang suka pada hal hal eksotik. Tidaklah lama dibiarkan diri jadi leka, pulang ke rumah melihat cermin terlihat kembali aura Nina Simone, Whoopi Goldberg atau paling cantikpun setakat Donna Summer. Tidak pasti samada ianya membuatkan diri rasa sedih, kecewa, bahagia atau terharu.
Terjun pula dalam dunia kecantikan secara tidak langsung. Dunia pentas, melatih pragawati dan ratu cantik di Pulau Pinang. Sesekali akan dihantui rasa marah pada Pencipta, kenapa tidak Kau jadikan aku seperti teman teman yang dilihat sebagai sempurna fizikal? Beristighfar pula dan didamaikan secara sendirian tentang fizikal yang tidak cacat dan otak yang tajam berfikir menggunakan kata. Terasa sedikit damai.
Dunia yang tidak adil terus diharungi. Biarlah, mereka tidak ada pilihan. Mereka terpaksa membiarkan saya yang gemok, hitam dan tidak cantik untuk mempamirkan bakat yang ada. Dunia transnita bertambah parah. Saat saat hati rapuh melihat para jelitawan yang disangkakan bahagia, hampir membuatkan jiwa tidak keruan. Cepat cepat ditarik kaki untuk memijak tanah. Tuhan itu ADIL, jangan lupa untuk bersyukur pada segala kurniaannya. Memohon diri untuk merenung kembali segala kelebihan yang kamu ada, ada banyak hal penting lain selain dari paras dan wajah yang selama ini dikagumi itu dan ini. Di usia 35 barulah diri merasa lega dan selesa mendakap diri sebagai Transnita yang bersyukur berwajah biasa biasa. Kulit gelap, hidung pesek, wajah tidak simetri bak ratu ratu cantik tetapi sihat fizikal dan mental.
Cantik mula dilihat dari perspektif yang berbeza, apabila banyak hal hal yang baik terjadi pada diri. Musibah musibah orang cantik juga sudah banyak dilihat, dijadikan pedoman (bukan bertepuk tangan). Kata Alhamdulillah bermain dibibir bukan sekadar ungkapan ringan biasa lagi. Begitu juga apabila melihat hempas pulas teman teman seangkatan yang cuba cantik atau berusaha cantik (gagal dengan operasi operasi feminization mereka) ada ilmu yang dikutip di situ tentang kecantikan. Jangan silap, pujian masih akan diberikan untuk mereka yang benar benar cantik tidak kiralah secara fizikal sahaja atau setelah digabung cantik fizik dan otak. Ketika inilah rasa damai menyusup masuk dalam diri menjadikan proses penuaan tenang.
Bagus sebenarnya dilahirkan dengan kulit jiwa yang tebal, tahu memanipulasikan suasana, mempunyai Sense of Humor yang bagus dan tahu di mana jiwa harus ditenangkan. Percayalah pelbagai jenis manusia sudah ditemui, dari mereka kita kutip keberagaman manusia dan adakalanya falsafah mereka jadi berguna untuk kita.
Kisah cantik sudah banyak kali kita bualkan. Nyata atau palsu atas diri masing masing. Begitu juga dengan urusan usia. Kita boleh sahaja berhempas pulas menipu orang bahawa kita berusia 30an kerana selama ini tubuh badan dijaga rapi (tetapi resam diri yang 50 di dalam akan terus kekal sama sahaja). Mulut akan ringan selesa mengatakan usia yang sebenar. (sewaktu berusia 30 dahulu apabila berbicara di sesewang untuk berkenalan sering sahaja dipilih usia 25 demi....) Ianya berbunyi lucu sebenarnya, bayangkan kalau dilakukan sekarang?
Menjawab soalan anak muda tersebut, meningkat usia sangatlah mendamaikan. Tidak kisah dan rasa berbaloi dengan apa yang sudah dilalui sebelum ini (baik atau buruk pengalaman) memudahkan segalanya. Berbicara dengan generasi muda, bercerita pada mereka tentang hal hal 70an, 80an dan 90an adalah sejenis liberasi. Bila sudah selesa dipanggil Mama, Makcik atau Nenek ianya adalah petanda usia sudah didakap dengan penuh ketelusan.
Kecantikan tidak dinafikan membuka pelbagai peluang dalam kehidupan, namun nasib yang baik adalah apa tindakan kamu selepas itu? Ingat, cantik akan menjadi trofi tetapi sekiranya membosankan selepas 2 minit bagaimana? Memang ramai dikurniakan kecantikan kerana genetik yang bagus. Bagi yang kurang cantik pula kita akan berusaha mencari teknik teknik terbaik agar tampil mempersona. Ada caranya.
Sudah tentu saya ikut ketawa pada falsafah cantik dalaman Inner Beauty , kerana sering merasakan ianya juga palsu dan overrated digunakan oleh manusia. Akan ada satu tahap apabila kamu semakin dewasa dan mula yakin untuk berpegang pada prinsip diri, ungkapan ungkapan matang bermakna, gerak geri yang dilatih, kesopanan, hormat dihormati dan selain itu terpulang pada sang pelihat. Paling utama di usia apa sekalipun kamu mula mampu menghargai dan lebih menyayangi diri.
Saya tidak dapat membayangkan bagaimana orang yang pernah cantik apabila melihat cermin di saat usia tua. Pasti mereka sedih bukan? Apa agaknya usaha mereka untuk menerima situasi sedia ada? Satu lagi kata kata yang lucu penyedap terbayang: You never age a bit, same like when we first met!
Proses berusia tentulah bersifat peribadi. Ada yang terus berbahagia, ada yang kuat bernostalgia, meminta lebih perhatian, sakit yang berkomplikasi dan pelbagai hal hal lain. Setakat ini TUA tidak pernah membuatkan diri kecewa, sesekali mahu bersifat modest/rendah diri sebagai orang Asia, saya bermain selamat mengatakan: Alah mama sudah tua...
Semangat hidup sebagai transnita berusia sebenarnya semakin utuh kerana banyak hal hal pemahaman tentang hidup, tidak takut pada kemahuan orang dan tahu menghormati alam sekeliling, sesekali kita bersederhana dalam apa sahaja rencana hidup. Lebih nikmat apabila ianya mampu dikongsi sebagai panduan pada mereka yang muda tercari cari.
Jadi kesimpulannya, tua itu tidaklah membebankan setakat ini, Alhamdulillah.
Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.