MENONTON DAN MERIVIU?
Menonton filem aktiviti membahagiakan. Di usia matang, semulajadi kita jadi lebih memilih. Bukan mudah menemukan filem yang mampu bikin terpana.
Sering disaran menonton bila ada rungutan kebosanan dalam hidup. Filem membawa bersama pelbagai falsafah selain galur penceritaan. Sayangnya filem bukanlah untuk semua. Si kaki wayang pula terbahagi pada banyak kategori, paling utama disimpul sebagai hiburan, pelepas beban emosi yang sering dikatakan 'get way - escapism'.
Dengan adanya medsos, reviu dilakukan sambil mempertajamkan teknik penulisan, pengamatan, disimpan sebagai rekod, nampaklah juga tingkatan kedewasaan peribadi di situ.
Meriviu tanpa saringan orang lain, perasaan terhadap sebarang filem menjadi lebih telus dan personal. (di tahun 70an dan 80an hanya reviu bercetak dibaca dari pandangan wartawan cermat, wartawan tidak berminat, diedit pula oleh editor besar, bagaikan menongkah kata secara terpaksa, penuh kawalan, ada ketikanya tampil bagai catatan semula sinopsis setelah dikurniakan tiket percuma di majlis premier – tayangan perdana. Suasana datar sebegini tidak ada lagi di alaf baharu bagi filem antarbangsa dan tempatan sekalipun. Media bebas mengizinkan luahan video atau apa sahaja sebaik keluar dari panggung wayang.
Secara peribadi teknik meriviu semakin mudah. Duduk di kerusi PENONTON, memilih kata kata dan terma filem yang sesuai, memberikan homaj pada pengarah/penerbit, pujian jelas, tilik lakonan, skrip/dialog, lokasi, gunaan teknologi perfileman, elak kontroversi, mengimbang atau boleh saja tidak meriviu jika dirasakan itu filem terlalu buruk (Terutamanya filem tempatan). Ya, semoden manapun zaman, adab tetap dijaga. Namun, kekal sebagai pilihan peribadi – ada pengulas memilih jatuh dalam kategori celupar, nakal dengan ekspresi mengikut zaman/trend, ada juga yang hanya bertumpu pada bintang pop sahaja.
Terbaik setakat ini: Berikan 15 min atau 30 min tontonan, tinggalkan jika perlu tanpa sebarang reviu. Lain pula kisahnya jika ia reviu berbayar.
Melihat pada tema tema sedia ada, kita faham benar pergulatan pembikin dan penerbit (seni & niaga). Percaturan antara seni audio visual, cinta akan penceritaan, teknologi kamera dan perpindahan idea arahan di kepala menjelma di layar, Kerjasama warga sesebuah produksi, filem komersil terancang dan macam macam lagi, termasuklah sensasional tradisi yang melibatkan barisan pemeran demi promosi. Belum lagi disentuh kebutuhan LPF dan sensitiviti negara.
Kena gaya filem akan dianggap baik, tidak kiralah cereka, biografi, dokumentari, kempen terancang, iklan atau filem pendek, filem yang baik tetaplah mimiliki lowongan mudah untuk menuai kekaguman sang pelihat. Pastilah ia karya yang merangkum rasa bangga setelah berpenat lelah secara berpasukan. Faham benar bila ada momen 'The Making of ' mampu menarik minat si kaki wayang (sambil menanam harapan di dua pihak) – ada yang dibambu seawal uaran trailer dan poster promosi.
Syok sendiri atau tidak, terpulang pada penonton waras. Setelah karya berada di layar umum (wayang, tv atau portal pilihan) ia terbuka untuk direviu dan dikritik, apatah lagi setelah menerima yuran promosi.
Bukan tidak pernah kita saksikan perdebatan antara periviu, pengkritik, pengulas dan penerbit. Ia sering terjadi dan kita hafal benar kenyataan "aku nak tangok kau buat filem nanti, nak tengok nanti bagaimana" "kau memang dasar tak sokong filem tempatan!!!" Matang atau tidak kenyataan tersebut, ia begitu manusiawi sekali, mencuit sedikit senyum sumbing, yang bijak akan mengatakan ia mesin promosi percuma.
Setelah menjamah pelbagai makanan, tidak kiralah untuk alas perut atau kenyang, manusia di hujungnya membuat pilihan. Genre pilihan? Disebut sebut orang? Semuanya dijamah tanpa rasa berat sebelah. Maka dipujilah apa yang patut.
Fenomena 'mudah terhibur' masih lagi menjadi perhatian/tuntutan, manakala tema lapuk kita akur akan berterusan kembali atas alasan alasan yang nyata.
NOTA:
Filem ditonton ketika fikiran penonton sedang lega, tumpuan tidak berbelah bahagi, mata hati yang tajam, bersama pemerhatian holistik. Sesekali kita menjadi berat sebelah saat menilai, begitu juga perasaan ternanti nanti penghasilan segar baharu dari barisan sutradara yang dikagumi.
Reviu filem secara peribadi sengaja dikongsi dalam Bahasa Malaysia dengan hajat mata filem anak anak bangsa beroleh ketajaman. Apresiasi filem, muzik dan sastera negera akan sentiasa diusahakan agar selaras secara global.
#ginareviewfilem

ANDA SEDANG MEMBACA
RUANG KATA KATA
PoetrySelain dari bisu dan tuli, kita masing masing mampu meluahkan kata kata yang beriring hasrat dizahirkan jadi nyata. Ada ketikanya terkubur begitu sahaja, hilang di dalam hati manusia. Ruang ini membenarkan aku menongkah segala resah, bahagia dan kel...