GTLF2020 - Esei
MENGHADAPI VIRUS NOVEL CORONA DI PULAU PINANG.
Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai Rabu ini, 18 Mac hingga 31 Mac 2020 di seluruh negara. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perintah kawalan tersebut dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.
Berikut adalah catatan catatan yang dibuat sepanjang tempoh PKP 1, 2 dan 3 menjurus pada Pemulihan PKP sebagai simpanan kenangan peribadi.
--------------------------------------------------
LEIMBACH, SWITZERLAND (MID 80s)
Suasana dingin bulan Mac itu, sejuk gedi udaranya menerpa kulit dan tulang kampunganku. Sesekali badan kudekatkan pada bingkai pemanas Apartmen 4 tingkat di pinggir bukit Leimbach, Switzerland. Setiap tingkat ada 4 buah keluarga. Saat menuruni lantai bahagian paling bawah untuk membasuh pakaian, aku melihat barisan makanan dalam tin (ada kekacang, sardin, daging luncheon dan pack ubi ubian), banyak bersusun. Milik siapa? Aku jadi bertanya dalam hati.
Di garaj berasingan bersebelahan apartmen selain bergantungan baju dan jaket musim dingin ada peti sejuk seperti kedai aiskerim dengan pelbagai jenis keratan daging tersusun di dalamnya. Aku jadi tertanya lagi, maklumlah hadir dari Bukit Mertajam yang asas dan makmur.
"Ah! Ambillah jika mahu digunakan, tetapi ganti, ada buku nota di situ bukan? Ya, kami pernah melalui zaman perang dan catuan. Semua ini sudah jadi tradisi masyarakat di sini...," ujar Puan Meredith ibu mertuaku yang bekerja sebagai telefonis saat perang dunia ke 2.
Aku yang ciwi merasa segan mahu bertanyakan pada Joe (bekas kekasih yang sinis, kerap menghina dan metertawakan orang Asia), jadi kutanya saat membantu Puan Meredith menyusun kertas kertas, suratkhabar, bungkusan dan botol botol kosong untuk diletakkan di hadapan apartmen dengan tujuan kitar semula setiap hari Rabu.
Bicara seperti ayam dan itik itu masing masing kami fahami.
Leimbach secara tidak langsung mengajar akan tata budaya hidup masyarakat, hal kitar semula eropah, aliran air dari rumah disaring, keluar dari kawasan tepat tinggal disaring, disaring lagi hingga masuk ke sungai besar tempat itik itik liar berenang. Kenangan menggunting bunga bunga liar dan melihat arnab arnab liar yang comel, busana berlapis lapis dan mulut yang berasap tidak mudah dilupakan.
Selain dari itu aku pulang akibat kerinduan berat pada tanah air yang polos di pertengahan tahun 80an sambil mengenangkan kisah kisah yang tidak jadi. Gagal atau jaya sangat kupercaya ada sumbangannya yang hebat!
Kenangan di atas berputar saat minggu pertama PKP Novel Corona Virus alias COVID-19
---------------------------------
Tempat tinggal yang hampir benar dengan jalan utama di Pengkalan Weld tiba tiba jadi sepi, sunyi yang menakutkan. Kerap dijenguk dari atas flat dengan mata yang beralih dari jalanraya kosong ke Selat Melaka yang kekal tenang mengimbangi emosi yang semacam ini.
Medsos mula berkisah tentang pekan pekan seluruh negara yang sepi, pasaraya sesak dan perebutan gelung tisu tandas dan roti. Kita belajar lagi dalam suasana ini. Malaysia mengistiharkan LOCKDOWN bermula 18hb - 31hb Mac
Berikut antara sektor perkhidmatan yang tidak ditutup dalam tempoh berkenaan, bermula Rabu hingga 31 Mac 2020:
1) Air
2) Elektrik
3) Tenaga
4) Telekomunikasi
5) Pos

BINABASA MO ANG
RUANG KATA KATA
PoetrySelain dari bisu dan tuli, kita masing masing mampu meluahkan kata kata yang beriring hasrat dizahirkan jadi nyata. Ada ketikanya terkubur begitu sahaja, hilang di dalam hati manusia. Ruang ini membenarkan aku menongkah segala resah, bahagia dan kel...