bab 12

14.7K 349 3
                                    

Terik matahari buat Liana Qasha kehausan. Jerit pekik ulat-ulat tiket di sekitar Hentian Puduraya begitu membingitkan. Liana Qasha keluar dari tempat itu. Dia tak tahu ke mana dia harus melangkah.

Akhirnya Liana Qasha mengambil keputusan menuju ke kedai makan yang berdekatan. Rasa haus dan lapar mengatasi segala-galanya. Setelah memesan makanan, Liana Qasha membeli surat khabar yang ada dijual di situ. Terus sahaja dia membuka ruangan iklan untuk mencari pekerjaan. Pen yang sentiasa ada di dalam begnya dikeluarkan. Dia membulatkan mana-mana pekerjaan yang dirasakan sesuai.

Erm, Kuala Lumpur ni tak ada kilang ke? Kilang saja pengalaman kerja aku sebelum ni, rungut Liana Qasha dalam hati. Dia menongkat dagu sambil berfikir. Tempat tinggal juga harus dicari. Takkan dia nak tidur kat bawah jambatan kut? Eii.. Ngeri!

Tanpa Liana Qasha sedari, seseorang sedang leka memerhatikannya. Lelaki itu setia memerhatikan Liana Qasha sehingga gadis itu selesai makan. Liana Qasha menuju ke kaunter dan membayar makanan dan minumnya. Kemudian dia melangkah keluar dari restoran tersebut. Ke kiri, ke kanan dia melingas.

Mana aku nak pergi, ya?

"Assalamualaikum," ucap lelaki yang berumur dalam lingkungan 30-an.

Liana Qasha menoleh. Memerhati lelaki di sebelahnya yang tersenyum manis. Dia tidak membalas dengan segera senyuman lelaki itu.

"Waalaikumussalam." Namun dijawab juga salam lelaki itu.

"Adik nak pergi mana? Boleh abang hantarkan," balas lelaki itu selepas mendapat respons daripada Liana Qasha.

Huh? Hantarkan? Takkanlah senang-senang dia nak hantarkan aku? Liana Qasha melirik lelaki di sebelahnya yang masih setia menanti jawapan.

"Memang semua orang Kuala Lumpur ni baik-baik ya? Boleh hantarkan sesiapa aje," balas Liana Qasha. Dia menyebak rambut panjangnya ke belakang. Dia masih memerhati sekitar bandar Kuala Lumpur itu.

Lelaki itu ketawa. Liana Qasha jadi pelik. Kenapa dia ni ketawa pula? Salah ke apa aku cakap?

"Bukanlah semua. Cuma orang-orang macam abang aje. Abang ni pemandu teksi. Kalau adik nak pergi mana-mana boleh abang hantarkan," balas lelaki itu dengan lebih lanjut.

"Oh...." Liana Qasha termalu sendiri. Dia mula tersenyum. Nampaknya macam lelaki yang baik. Bertuah juga aku datang Kuala Lumpur untuk kali pertama dah jumpa orang yang baik-baik.

"Boleh ke abang bagitau saya mana hotel atau rumah tumpangan yang murah?" Soal Liana Qasha.

"Boleh. Tapi hotel mahal kalau kat Kuala Lumpur ni. Jom abang hantarkan kat rumah tumpangan. Tak jauh, dekat aje,"pujuk lelaki itu.

Liana Qasha tersenyum dan mengganguk. Lelaki itu membukakan pintu belakang untuk Liana Qasha. Liana Qasha segera naik. Hatinya girang. Semua rancangannya berjalan lancar. Tinggal mencari pekerjaan yang sesuai. Selepas itu dia akan mencari pula rumah atau bilik untuk disewa.

Segirang-girang hati Liana Qasha, girang lagi hati Razi.umpannya seakan-akan mengena. Dia boleh tahu yang mana satu perempuan yang baru datang ke Kuala Lumpur. Itu rezeki terpijaknya. Terus wajah Mummy Leha menerjah ingatan. Kata Mummy Leha kalau dia berjaya bawa seorang gadis untuk bekerja di kelab malamnya, Mummy Leha akan beri dia habuan. Di mata Razi hanya nampak ribuan ringgit. Bolehlah dia berjudi sepuas-puasnya. Untung-untung dia boleh menang!

Tak sabar rasanya menunggu waktu malam. Dia akan memperkenalkan gadis di dalam teksinya ini kepada mummy Leha. Mesti Mummy Leha akan beri dia bonus kerana gadis ini kelihatan cantik. Kulitnya putih mulus. Segalanya sempurna.

"Nama abang, Razi. Adik ni siapa nama?" Soal Razi sewaktu memulakan perjalanan.

"Nama saya Liana Qasha. Panggil Qasha aje," balas Liana Qasha ramah. Dia masih teruja melihat bangunan-bangunan yang tersergam indah. Tak langsung syak apa-apa. Dia juga lupa nak tengok mimik muka Razi yang sudah tersenyum jahat.

Andai Itu TakdirkuTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang