Liana Qasha bersiap-siap nak ke tempat kerja. Hari ni van kilang akan datang dan mengambilnya. Dia harus bekerja untuk menampung perbelajaan untuk dirinya. Tambah-tambah lagi ayahnya sudah tiada. Pasti banyak duit nak digunakan untuk perbelanjaan harian. Dia mahu membantu Rahimah. Kalau nak diharapkan Fazrul, memang tak makanlah mereka bertiga.
Liana Qasha berdiri di depan cermin. Rambutnya yang ikal dan panjang berwarna perang asli disisir perlahan-lahan. Kemudian diikat satu. Wajahnya yang putih kemerahan disapu dengan bedak secara tipis. Bibirnya sekadar dioles dengan pelembap. Hanya dua alat mekap itu sahaja sudah mampu menyerlahkan wajah cantik Liana Qasha. Ayah kata Liana Qasha mewarisi kecantikan daripada ibu. Sayang... Dia tak dapat nak tatap lama-lama wajah ibunya.
Kemudian perlahan-lahan tangannya memegang benjol yang masih ketara di dahi. Liana Qasha hanya mampu menggeleng perlahan. Dia orang ni ingat aku ni barang mainan Barbie doll agaknya boleh dicampak sesuka hati. Boleh dicabut tangannya sesedap rasa! Huh...
Pin! Bunyi hon van kilang kedengaran.
Segera Liana Qasha keluar dari bilik. Di ruang tamu, Fazrul tidur bergelimpangan. Berdengkur macam nak pecah rumah dibuatnya. Liana Qasha hanya mampu menggeleng kepala. Rahimah masih lagi tidur di biliknya. Liana Qasha ke dapur sebentar untuk menutup hidangan bihun goreng di atas meja dengan tudung saji. Sarapan itu telah dia sediakan seawal pagi lagi supaya Rahimah tak payah bersusah payah. Kemudian perlahan-lahan Liana Qasha membuka pintu dan keluar dari rumah kemudian menutup pintu semula.
"Selamat pagi, Qasha. Qasha dah okey?" Soal Fahmi.
"Okeylah, pak cik. Tak elok saya nak bersedih lama-lama." Liana Qasha tersenyum manis kepada Fahmi, pemandu van kilang tersebut.
"Baguslah kalau macam tu, Qasha. Tak elok tangiskan orang yang dah pergi,"balas Fahmi sambil membalas senyuman Liana Qasha.
Liana Qasha menutup pintu van dan van mulai bergerak menuju ke kilang yang tak berapa jauh dari kampung mereka.
Hari sudah pun terang sewaktu mereka sampai ke kawasan kilang tempat mereka bekerja. Buru-buru Liana Qasha menuju ke lokarnya. Dia tak mahu sampai Syakilla dan Azhar perasan akan keadaan dahinya yang membenjol sedikit. Ah! Masakan Syakilla dan Azhar tak boleh nak perasan benjol yang besar sedikit daripada sebiji guli itu di dahi Liana Qasha sepanjang hari.
"Qasha! Apa yang kau kalut sangat tu? Belum masa lagi kita nak start kerja,"laung Syakilla. Dia berlari-lari anak untuk mendapatkan Liana Qasha.
"Aku... Aku..."
"Aku apanya!" Syakilla terus memaut bahu Liana Qasha sehingga gadis itu berpaling ke arahnya. Terkejut bukan kepalang Syakilla apabila terlihat sesuatu yang membonjol di dahi Liana Qasha.
"Apa ni?" Syakilla menekan sedikit benjol tersebut.
"Sakitlah, Sya!" Liana Qasha menepis tangan Syakilla.
Waktu itu Azhar sudah merapati mereka. Dia tercengang-cengang apabila melihat ada gaduh-gaduh manja antara Syakilla dan Liana Qasha. Mereka bertiga sudah berkawan sewaktu kecil lagi.
"Apa hal?"soal Azhar.
"Kau tengoklah dahi si Qasha ni. Dah bertelur!" Syakilla ketawa sinis.
Liana Qasha hanya menjeling tajam. Dia tahu Syakilla menyindirnya. Dia tahu Syakilla anti betul dengan mak tirinya dan Fazrul si mata keranjang.
"Mak tiri kau pukul kau lagi, ya?"soal Azhar prihatin. Dia merenung lembut wajah Liana Qasha.
"Macam selalu-selalu. Aku dah lali dah," jawab Liana Qasha perlahan. Dia melarikan anak mata daripada terus menatap dua pasang mata yang sedang merenung ke arahnya.

YOU ARE READING
Andai Itu Takdirku
Romance1st romance by vannila_💯 Ibu tiri selalu dikaitkan dengan sikap yang kejam selalu membuli Cinderella. Dipukul? Dihina? Memang semua tu Liana Qasha dah serik lalui semuanya. Dia yang harus membuat semua kerja rumah sementara ibu tiri dan abang tiri...