USAI solat Jumaat, Fahmi terus bergegas ke Seksyen 2 untuk bertemu dengan Riena di hadapan rumah sewa kawan baiknya itu. Dia sudah tekad dengan keputusannya. Apa yang tertangkap di dalam gambarnya bersama Riena dan gambar yang telah Aqeel ambil semalam, membuatkan hatinya tidak berani hendak menyertai aktiviti meredah banglo yang dianggap berhantu itu.
Sampai sahaja di hadapan pintu pagar rumah sewa Riena, dia terus melaung salam selepas mematikan enjin skuternya. Seminit kemudian, barulah salamnya berjawab dan kelihatan Riena mula melangkah keluar.
Pintu pagar dibuka lalu Riena menjemput Fahmi duduk di atas kerusi kayu yang ada di beranda.
"Sorrylah aku tak dapat nak jemput kau masuk. Rumah perempuan, kan?" pohon Riena sambil melabuhkan punggungnya di sebelah Fahmi yang sudah selesa duduk.
"Tak apa, aku faham."
Riena mengukir senyum.
"Ada apa kau beria-ia nak jumpa aku petang ni?"
Fahmi tidak terus menjawab. Dia berharap sangat keputusan yang sudah dia buat ini tidak mengejutkan Riena.
"Aku rasa, aku nak tarik dari dari ikut kau orang semua meredah banglo tu," jawab Fahmi, tenang.
"Apa?"
Sakaan Fahmi tidak mengena. Nampaknya Riena memang betul-betul terkejut dengan keputusan yang telah dia buat.
"Perlu ke, kau nak terkejut macam tu?" soal Fahmi dengan nada menyindir.
"Helo, perlulah. Kau ni dah kenapa? Tiba-tiba aje nak tarik diri? Tarik benda lain tak boleh ke?" balas Riena, geram.
"Kau nak suruh aku tarik apa? Main tarik tali? Tarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerakan? Kau ingat selepas apa yang aku tengok dalam gambar tu, aku akan seberani sebelum ni, ke? Kau tak takut, kalau tragedi pembunuhan lima belas tahun lalu berulang kembali dan kita semua adalah mangsanya?" serius Fahmi meluahkan punca mengapa dia takut untuk sertai mereka.
Keluhan halus, Riena helakan. Alasan Fahmi itu dianggap tidak releven baginya.
"Come on beb, dia orang terbunuh sebab dia orang main permainan syirik seruan roh tu. Mereka kena bunuh oleh roh yang dia orang seru. Esok, kita hanya datang banglo tu untuk merasai sendiri dan rakam aktiviti paranormal yang ada dekat banglo tu. Itu pun kalau ada. Itu aje. Tak ada pun konsep seru menyeru roh ni, tahu?"
"Memanglah..." pintas Fahmi. "Kau rasa roh yang dia orang seru tu, lepas dah bunuh mereka semua, roh tu ke mana? Entah-entah, bukan roh yang dia orang seru. Tapi iblis yang ada dalam gambar wefie kita tu yang dia orang dah seru tanpa sengaja," sambungnya lagi.
"Motif apa roh atau iblis tu nak bunuh kita pulak?"
"Manalah tahu dia saja nak main bunuh-bunuh dengan kita?"
Riena tergelak kecil.
"Boleh pulak dia nak main bunuh-bunuh dengan kita? Kau ingat main bunuh-bunh tu macam main police and thief, suka-suka nak bunuh orang?"
"Sebarang kemungkinan boleh berlaku, kan?" Fahmi masih mempertahankan tanggapannya.
"Mi, dah berkali-kali aku cakap, janganlah terlalu negatif. Anggap aje, aktiviti yang bakal kita lakukan tu nanti just for fun. Kita tak main seru-seru roh, kan? Kita datang sana, nak tengok-tengok aje dan tunggu kalau-kalau ada 'sesuatu' datang kacau kita atau tak. Itu aje. Insya-ALLAH, tak akan berlaku apa-apa."
Pujuk Riena cuba mengusir tanggapan negatif Fahmi terhadap Banglo Kenangan itu yang dia rasakan tiada apa-apa yang membahayakan.
Fahmi mengeluh bosan.

YOU ARE READING
BANGLO SEKSYEN 12
HorrorTragedi pembunuhan enam remaja di banglo terbengkalai itu 15 tahun lalu menyebabkan banglo itu digelar banglo angker. Ada yang mengatakan roh enam remaja yang mati dibunuh di banglo itu masih bergentayangan dan tidak aman sehingga sekarang. Hal itu...