DIA memberhentikan keretanya betul-betul di hadapan banglo dua tingkat yang kelihatan usang dan terbiar itu. Kemudian, lampu keretanya dimatikan lalu beg sandangnya di tempat duduk sebelah dicapai. I-Padnya dikeluarkan dan dihidupkan. Laman web yang berkaitan dengan banglo usang dan terbiar di hadapannya itu dibuka. Sebelum dia datang ke kawasan ini yang dikhabarkan 'keras' dan penuh mistik, dia sudah terlebih dahulu membuat kajian tentang kawasan ini dan termasuk tentang banglo di hadapannya itu.
Pelbagai mitos dan cerita tentang banglo lama itu di internet. Kebanyakan cerita yang ada dipetik dari kisah-kisah terdahulu dan kisah yang dialami sendiri oleh tuan punya laman web. Menurut sumber yang dia perolehi, banglo lama di hadapannya ketika ini dibina di atas tanah yang tidak sepatutnya. Kawasan ini dikhabarkan kawasan untuk manusia-manusia zaman dahulu yang mengamalkan ilmu hitam membuang saka dan jin belaan mereka. Agak klise, tapi tak mustahil terjadi.
Selain itu, ada juga cerita yang mengaitkan Muna Fandi yang telah dihukum gantung sampai mati pada tahun 2000 yang lalu selepas disabitkan bersalah kerana membunuh seorang lelaki berpangkat dato' di banglo itu. Dan mayat lelaki berpangkat dato' itu ditemui tertanam di sekitar kawasan banglo yang sama. Khabarnya pembunuhan itu dibuat kerana mahu memenuhi syarat ritual ilmu hitam yang telah diamalkan oleh Muna Fandi.
Itu semua sekadar cerita yang tiada siapa dapat sahihkan. Namun, lima belas tahun lalu, enam orang remaja telah mati dibunuh di banglo ini secara kejam. Pembunuhan itu berlaku selepas setahun Muna Fandi dihukum gantung. Kes itu ditutup kerana selepas beberapa tahun disiasat, pihak polis masih tidak menemui sebarang klu siapa pembunuhnya yang sebenar. Sehingga kini, pembunuh dalam kes itu masih tidak dapat dikesan dan kes terus senyap begitu sahaja. Pihak polis juga tidak dapat mencari siapa pembunuh yang sebenar.
Ada khabar angin menyatakan, si pembunuh bukan manusia, sebaliknya jin yang dibela Muna Fendi yang terperangkap di dalam banglo itu. Jin atau mungkin saka itu memerlukan nyawa manusia untuk bebas. Tetapi, itu sekadar khabar angin. Tiada sesiapa yang bisa membuktikan kebenarannya.
Berkali-kali dia memandang gambar banglo yang ada di skrin I-Padnya dengan banglo yang ada di hadapannya. Dia ingin memastikan yang dia kini berada di hadapan banglo yang dimaksudkan kawan baiknya, Fazlie.
Enjin kereta dimatikan lalu I-Pad disimpan semula ke dalam bag sandangnya. Dikeluarkan pula kamera video yang turut dibawa. Malam ini dia mahu menyiasat sendiri keadaan banglo lama itu sama ada benar-benar berhantu seperti yang dihebohkan di dalam internet atau sekadar mitos dan khabar angin semata-mata.
Pintu kereta dikunci selepas dia menyandang beg sandangnya di bahu. Kamera video di tangannya dihidupkan lalu dia mula merakam apa yang ada di hadapannya. Tetapan kamera video ditukar kepada tetapan malam. Menyala terang lampu yang ada di bahagian hadapan kamera video itu menyuluh ke hadapan.
Nafas ditarik dalam lalu dihembus perlahan. Walaupun dia tidak takut dengan hantu dan makhluk-makluk mistik, tetapi bila bersendirian di tempat yang gelap dan jauh dari sesiapa, tetap mengundang debar di dada. Bimbang ada binatang berbisa atau sesiapa yang berniat jahat bakal menyerangnya.
Langkah diatur masuk ke dalam kawasan dalam banglo itu. Pintu pagar besi yang terbuka kecil ditolak sedikit ke kiri, membuka ruang untuk tubuhnya masuk ke kawasan laman banglo.
Lensa kamera video di tangannya dihala ke arah beranda. Langkah mula diatur ke dalam dengan berpandukan skrin kamera video. Bunyi cengkerik dan unggas saling sahut bersahutan. Membingitkan suasana malam yang mengerunkan. Kedengaran bunyi suara katak tidak jauh dari situ. Salakan anjing juga kedengaran menjauh dari arah yang tidak pasti.

YOU ARE READING
BANGLO SEKSYEN 12
HorrorTragedi pembunuhan enam remaja di banglo terbengkalai itu 15 tahun lalu menyebabkan banglo itu digelar banglo angker. Ada yang mengatakan roh enam remaja yang mati dibunuh di banglo itu masih bergentayangan dan tidak aman sehingga sekarang. Hal itu...