"MANA dia orang ni Na? Buat perjumpaan tengah-tengah malam. Dah macam Malaysia ni tak pernah ada waktu siang aje," rungut Fahmi sejak tadi. Langkah Riena di hadapannya terus diekori.
Dengan terpaksa, Fahmi terpaksa akur bersetuju menemankan Riena menyertai aktiviti menerjah Banglo Kenangan Seksyen 12 bersama senior mereka. Kalau Riena itu bukan kawan baiknya, mati hidup semula pun dia tidak akan pernah bersetuju.
"Kau ni, dari tadi tak habis-habis membebel, kan? Nasib baik dia orang bagi lokasi perjumpaan dekat restoran mamak, tau? Buatnya dia orang ajak jumpa dekat tanah perkuburan, tak ke lagi haru biru hidup kau?" balas Riena sambil melangkah menuju sebuah restoran mamak tidak jauh dari kawasan dia memakir keretanya.
Fahmi merengus geram.
Mereka memandang kiri dan kakan. Selepas memastikan selamat, barulah mereka melangkah melintasi jalan di hadapan mereka menuju ke arah restoran mamak yang telah menjadi lokasi perjumpaan mereka malam itu.
Sampai di hadapan restoran, Riena memanjangkan leher, mencari kelibat abang seniornya yang bernama Fazlie. Bukan main teruja dia mahu bertemu lelaki itu.
"Ha tu pun dia orang!" ujar Riena teruja sambil menghala telunjuk ke arah Fazlie dan dua lagi kawannya yang duduk di bahagian dalam restoran.
Riena dan Fahmi melangkah menghampiri lelaki itu.
"Emm.. abang Fazlie, kan?" tanya Riena dengan senyum malu pada lelaki itu.
Fazlie yang sedang menghadap skrin komputer ribanya mengangkat pandangan. Dua lagi kawan baiknya turut memandang ke arah Riena.
"Riena?"
Riena angguk mengiakan dengan senyum luas.
"Duduklah," pelawa Fazlie.
"Emmm... nilah kawan saya yang nak join sekali nanti, Fahmi nama dia," Riena memperkenalkan Fahmi.
Fahmi memperkenalkan dirinya pada Fazlie sambil berjabat tangan.
"Ni dua lagi kawan abang. Yang perempuan macam jantan ni, nama dia Farina. Yang keding ni, Amir. Kalau kau orang pernah tengok video suka-suka kami dekat Youtube, mesti kau orang kenal dengan dua mangkuk hayun ni," Fazlie memperkenalkan rakan-rakannya dengan ayat yang agak kasar bunyinya.
Kecil kelopak mana Farina menjeling Fazlie. Geram bila dia dikata macam jantan.
Mereka bersalaman dan berkenalan.
"Maaflah kalau kita orang lambat," pohon Riena dengan sengih yang masih meleret.
Farina dan Amir saling berpandangan. Terus mereka disapa musykil, adakah dua junior di hadapan mereka itu benar-benar berani untuk menyertai grup mereka?
"Tak apalah, masih ada seorang lagi yang belum sampai. Kalau diikutkan ramai yang nak join. Tapi bila kita orang bagi tahu aktiviti paranormal tu kena buat malam hari, ramai yang tarik diri. Hanya kau orang berdua dengan seorang lagi senior kita orang aje yang berani," jelas Fazlie, panjang lebar.
Tertelan liur Fahmi selepas mendengar waktu yang dipilih mereka untuk menerjah aktiviti paranormal yang bakal mereka lakukan. Dia melihat Riena macam tidak kisah sahaja. Mentang-mentanglah lelaki yang dia sukai ada di meja itu.
Keadaan restoran tidak terlalu sesak. Pelayan datang untuk mengambil pesanan Riena dan Fahmi. Mereka berdua sekadar memesan milo ais sahaja.
"Kau ambil jurusan apa?" tanya Farina, sekadar berbasa-basi sementara menunggu seorang lagi yang masih belum sampai.
"Saya ambil Komunikasi dan Media," jawab Riena.
"Saya pula Seni Reka Fesyen," Fahmi pula menjawab.

ŞİMDİ OKUDUĞUN
BANGLO SEKSYEN 12
KorkuTragedi pembunuhan enam remaja di banglo terbengkalai itu 15 tahun lalu menyebabkan banglo itu digelar banglo angker. Ada yang mengatakan roh enam remaja yang mati dibunuh di banglo itu masih bergentayangan dan tidak aman sehingga sekarang. Hal itu...