Suatu hari, ketika sedang menikmati cendol yang sejuk di waktu menuju ke petang, saya memerhatikan sesuatu. Ada seorang budak sekolah, sedang mengejek nama bapa kawannya. Alah, benda ni biasalah masa sekolah. Sanggup curi report card member semata-mata nak tahu nama bapak member untuk diejek.
"Sadiq, Sadiq, Sadiq Sigaraga!" ejek si budak sekolah itu. Saya beranggapan bahawa nama ayah kawan yang diejek itu namanya Sadiq.
"Aku bagitau bapak aku," kata kawannya itu, marah.
"Bagitaulah, aku tak takut!" jawab budak sekolah itu, pendek.
Saya terfikir, kenapa dia tak takut. Saya kata, budak ini seorang yang berani. Tak takut ke kawannya memanggil bapanya dan bapa kawannya itu memukul dia nanti. Sebab ejek nama bapa kawan tadi.
Kemudian, dia lalu depan saya. Saya tegur dia."Dik, duduk sini jap. Abang belanja minum. Ada benda abang nak tanya ni."
Budak itu agak ragu-ragu, tapi aku yakinkan dia bahawa aku tak ada masa dan jaringan perniagaan untuk culik budak dan menjual budak ke pasaran haram, aku cuma dia temankan aku minum cendol.
Budak itu duduk. Aku order semangkuk cendol untuk budak itu.
"Nak rojak?"
Dia menggeleng.
"Nama siapa?"
"Daniel Ikhwan. Tapi kawan panggil saya Nil."
"Oh, Nil. Nama aku, Nami. Kau aku je lah, kita member."
Dia mengangguk-angguk kepalanya. Semangkuk cendol tiba di depannya. Terus dia menghirup cendol itu.
"Nak tanya, tadi tu kau ejek nama bapak kawan kau tadi ke?"
"Ha'ah. Bapak dia tu namanya Sadiq. Bapak dia tu poyo, garang tak tentu pasal."
"Oh, jadi kau rasa dia akan beritahu bapak dia ke? Tak takut ke dia beritahu?"
"Tak takut. Beritahulah, kalau jumpa depan-depan pun takpe. Bawak datang."
"Kenapa? Tak takut bapak dia pukul kau?"
"Berani ke bapak dia pukul budak kecik macam saya ni? Badan sado, dada kepak, mana dia nak letak muka dia kalau orang tahu dia pukul budak kecik?"
Saya terdiam. Terus timbul rasa hormat pada budak berusia lapan tahun ini.
Selepas berbual-bual, dia habiskan cendol dan kemudian ucapkan terima kasih. Aku dan dia berfistbump sebagai tanda hormat dan setiakawan.
Lalu aku berfikir, alangkah beraninya budak ini, dan budak ini membuatkan aku berfikir sesuatu.
Aku terbaca di The Malaysian Insider tentang beberapa orang Melayu yang cepat emo dan marah berdemo berkenaan isu nama Allah.
Kata mereka, mereka mahu mempertahankan nama Allah dari dihina kafir.
Whoa, kenapa marah sangat ni? Tak rasa ke kau ni hamba Tuhan? Kau siapa nak mempertahankan Tuhan?
Kalau Tuhan itu kau perlu pertahankan, maka tak kuatlah Tuhan kau. Sebab dia perlukan kau untuk kau pertahankan.
Berbalik pada adik Nil tadi, dia berkata dia berani untuk ejek nama bapak kawannya sebab bapak dia poyo, dan bapak dia takkan pukul dia.
"Berani ke bapak dia pukul budak kecik macam saya ni? Badan sado, dada kepak, mana dia nak letak muka dia kalau orang tahu dia pukul budak kecik?"
Saya tidaklah menggalakkan pembaca dari mengejek nama bapak kawan kalian. Cuma mahu berfikir sejenak, kalian kata Tuhan tu Maha Berkuasa, Maha Bijaksana, Maha Suci, takkanlah dia nak balas balik kepada orang kafir yang menghina namaNya.
Sedangkan pesuruhNya bernama Muhammad pun dibaling tahi oleh seorang kafir tapi dia masih steady, takkan Tuhan tak boleh nak steady?
Tak Tuhanlah kalau manusia biasa pun boleh steady tapi Dia tak boleh.
Mana Tuhan nak letak muka kalau Dia marah bila ada orang mengejek namanya?
Tuhan terletak pada kedudukannya yang tersendiri. Manusia terletak pada kedudukannya yang tersendiri. Tak perlu letakkan diri di posisi Tuhan dengan emosi sendiri untuk meletakkan sesuatu penghakiman.
Sekarang ini, apabila agama sudah dikorporatkan, sistem agama pada hari ini sudah menjadi sesuatu yang birokratik. Segala urusan agama pada hari ini sudah dijadikan urusan birokratik. Ada pekerja Jabatan Agama, yang bekerja dari jam 8 pagi sampai 4:30 petang, dan ada je pekerja yang sedang ponteng merokok di kafetaria.
Jadi birokratik bermakna sudah jadi manusia. Hanya manusia je yang buat kerja birokratik ni.
Kau fikir Tuhan ini birokratik ke? Kau fikir para malaikat setiap hari online dan key-in pahala dan dosanya, serta ada yang sedang melepak di syurga sambil "sweet-sweet" bidadari yang sedang lalu lalang?
Kau fikir para malaikat ni bekerja 9 to 5 dan ada para malaikat nak ponteng kerja suruh member dia punch card?
Kalau kau fikir macam tu patut dan memang berlaku kat syurga, kau rasa memang patut Jabatan Agama itu wujud dan Jabatan Agama itu adalah cawangan dan syurga tu ialah headquarters jabatan agama, maka kau sokong agama itu jadi birokratik, dan kerana birokratik itu manusia je yang buat, maka, kau akan rasa Tuhan pun berperasaan macam manusia, cepat terasa dan emo macam kau, lalu kau rasa kau patut pertahankan namaNya, macam kau pertahankan nama Najib Razak.
Sebab Najib Razak adalah ketua kepada segala birokrasi dalam negara ini. Dan kalau itulah apa yang kau rasa patut, maka kau sedang menyamakan tuhan kau dengan Najib Razak.
Agama kalau dibirokrasikan, Tuhan pun terus bersifat manusia.

YOU ARE READING
Bukan Fiksyen, Bukan Fakta.
RandomTulisan yang datang bukan dari akal pemikiran logik mahupun datang dari khayalan. Ia datang korteks serebrum yang berserabut dari Nami.