Beberapa bulan sebelum arwah mantan girlfriend saya meninggal dunia kerana kanser, dia ada post blog tentang soalan ini, dan kemudian, kami berbual di online.
Dia bertanya kepada saya, soalan yang sama: "syurga itu macam mana rupanya?"
Arwah mantan kekasih saya adalah seorang agnostik, iaitu orang yang meragui kewujudan tuhan. Dia mendakwa dia menjadi agnostik semasa dia darjah dua, tahun 1994, semasa dia bersama keluarganya tinggal di Itali kerana ayahnya seorang expatriat yang tinggal di sana.
Dia mendakwa Perang Bosnia yang pada ketika itu sedang hebat melanda bekas negara Yugoslavia, yang merupakan jiran kepada Itali, adalah punca dia berfikiran seperti itu.
Katanya, semasa Perang Bosnia, ada tiga puak berperang. Serbia, Croatia, dan Bosnia, yang menyaksikan perang paling teruk di Eropah selepas Perang Dunia Kedua.
Serbia, bangsanya menganut agama Kristian mazhab Orthodoks, yang kebanyakannya dianuti oleh bangsa Slavic, dari Rusia hingga Serbia. Croatia adalah bangsa yang menganut agama Katholik, manakala Bosnia ialah kebanyakannya, beragama Islam.
Di bumi inilah bermulanya Perang Dunia Pertama, dimana Franz Ferdinand (bukan band itu) dibunuh oleh Gavrillo Princip. Jadi tak hairanlah tempat ini akan menjadi tempat yang akan sering bergolak. Hanya si Tito sahaja yang mampu menyatukan semua ini menjadi sebuah negara yang bernama Yugoslavia.
Yugoslavia, seperti Soviet Union, hancur berpecah selepas berakhirnya Perang Dingin. Selepas perpecahan itu, Serbia masih mahu mengekalkan hegemoni itu seperti Rusia hari ini ke atas Ukraine.
Berbalik pada tiga suku kaum tadi, mereka berperang tiga hala - bunuh sesama sendiri dan sudah pasti nama agama digunakan untuk menegakkan kebenaran untuk mereka berbunuhan sesama sendiri.
Jadi negara jiran seperti Italilah, tempat mereka berbandung-bandung datang, selain di Malaysia di mana dulu di sekolah saya ada awek Bosnia dan semua orang cuba try nak mengayat.
Arwah mantan saya, yang menceritakan ini semasa berpacaran, bertanya pada saya, "sekarang ini siapa yang benar? Serb? Croat? Bosnia?"
Saya kata, "kalau ikut propaganda di Malaysia ni, Bosnia lah yang benar," memandangkan tentera Malaysia dihantar sebagai anggota MALBATT sebagai unit tentera pengaman Bangsa-Bangsa Bersatu.
"Serbia bunuh Croatia, Croatia bunuh Bosnia, Bosnia bunuh Serbia, Serbia bunuh Bosnia, Croatia bunuh Serbia, habis tu, siapa yang betul?"
Kemudian dengan senyuman manis dia mengacau ais dalam gelas dia berkata, "kalau ikut ego, semua nak cakap dia yang benar!"
Sebab itu dia jadi agnostik.
Tetapi semakin hari bila kita tahu hari kematian semakin dekat, maka soalan itu sudah pasti terlintas pada kita, "Syurga ni macam mana rupanya?"
Arwah menegaskan dia tidak takut kepada kematian kerana kematian adalah satu proses natural hidup. Setiap yang hidup pasti akan mati.
Cuma dia tertanya-tanya, selalu orang menggambarkan syurga itu macam itu, macam ini, jadi dia bertanya pada saya, apa persepsi saya tentang syurga.
Saya kata syurga ini satu harapan, satu impian.
Dia reply dalam YM cuma, "oh."
Lalu kami berbual tentang persepsi syurga dari bermacam-macam jenis orang. Ada yang kata ada sungai arak, sungai susu, serta ada sebatang sungai yang kalau kita minum seteguk sudah hilang haus selamanya.
Arwah kata, kalau begitu, hilanglah nikmat sungai yang lain. Tujuan haus itu ada dalam manusia supaya untuk terus minum air. Kalau dah hilang haus itu, maka apa gunanya kita ada sebatang sungai, atau dua tiga batang sungai yang lain.
Macam mana kalau kita lactose intolerance, apakah kita boleh menikmati sungai susu, atau kalau kita ni punk straight edge, bolehkah kita untuk tak nak minum arak?
Bagaimana pula dengan ramai bidadari yang cantik-cantik yang sering menjadi motivasi ramai lelaki untuk tak nak tinggal solat? Kalau kita cuma cintakan seorang, yang pernah hidup dengan kita di dunia ini?
Saya menjawab saya tidak tahu nak jawab soalan ini kerana saya tidak pernah ke syurga. Saya cuma pernah tinggal di neraka yang bernama Malaysia.
"Hik hik," dia taip gelak sebegitu.
Entahlah, seringkali kalau kita dengar soal syurga dari mulut imam atau ustaz, tak kira yang keluar tv atau keluar kat Youtube, mesti mulut tak lekang tentang bidadari, tentang rumah yang dibina dengan intan permata, serta tanah yang subur seluasnya.
Tapi apakah itu definisi syurga? Kalau itu semua tidak cukup untuk membahagiakan kita, macam mana?
Cuba bayangkan syurga versi Azhar Idrus, mungkin bidadarinya type-type bini dia dan ada sebiji Ferrari di depan rumahnya.
Syurga orang Melayu mestilah ada rumah yang rupanya macam rumah Perdana Menteri Sri Perdana atau rumah sultan. Dan bidadarinya mungkin berupa macam Neelofa.
Tapi apakah itu berbaloi atas penantian kita selama ini di muka bumi?
Arwah mantan kekasih saya, tidak mempercayai syurga dan neraka. Baginya, segala erti wujudiah diri ini ialah semasa dia ada di muka bumi ini.
Jadi saya bertanya kembali padanya, jika syurga itu wujud, macam mana dia bayangkan.
Dia menjawab, "syurga itu adalah kebahagiaan saya. Jika saya dapat rumah papan buruk tetapi ada permandangan indah, bersama arwah adik saya yang paling disayangi, dan bersama orang yang saya paling sayang, serta kucing-kucing saya, serta ada koleksi muzik dari garage rock, hip hop 90an, alternatif rock dan post rock, serta ada sekeping tanah untuk saya berkebun bercucuk tanam, itulah syurga."
Mungkin itulah maksud syurga yang sebenarnya. Bukan syurga yang diindoktrinasi oleh para ustaz yang gersang yang tak tahan dengan liuk lentuk gadis seperti Katy Perry.
Atau ada yang nak taste macam model tudung Fareeda, terserah.
Alangkah indahnya syurga itu kalau begitu cara orang Islam berdakwah pada penganutnya jika dia menerangkan syurga itu seperti apa yang arwah mantan kekasih saya yang agnostik ini cakap.
Kerana 72 bidadari, rumah dibina dari intan permata, serta sebatang sungai yang dapat menamatkan kehausan, bukanlah satu tarikan untuk saya.
Manusia yang sedang mengalami krisis eksistensial seperti saya ini, mahukan kebahagiaan, bukan hedonisme.
"Apa guna masuk syurga kalau kita kena dengar Mirwana instead Nirvana, kan Nami?" katanya sebelum mengakhiri kata.
Dan dia berpesan, bila dia mati nanti, janganlah kata dia akan bahagia, ataupun sengsara. Dia sudah mati, dan kita yang hidup tak tahu apa rasanya mati, dan kita hanya rasa itu bila kita mati.
Dan lepas mati, kita tak tahu apa perasaan orang yang hidup terhadap kita, sebab kita dah mati.

STAI LEGGENDO
Bukan Fiksyen, Bukan Fakta.
CasualeTulisan yang datang bukan dari akal pemikiran logik mahupun datang dari khayalan. Ia datang korteks serebrum yang berserabut dari Nami.