"BABY aku selalu meragam. Nak berkepit dengan ibu dia aje," adu Noor. Bicara sahaja seperti mengadu, nada jelas gembira menikmati hidup seorang ibu.
Aku tersenyum sendiri. Mata melirik pada Luqman yang sibuk menilik buku di meja batu di taman mini tempatku selalu bersantai kala mentari mula menyembunyikan diri. Khusyuk. Tidak langsung mengangkat wajah.
Aku faham benar perasaan Noor. Sesekali lelah melayan kerenah si kecil memang tidak dapat dinafikan. Namun melihat si kecil membesar hari demi hari memberi kepuasan yang sukar ditafsir.
Anak merupakan satu amanah. Aku cuma memegang tanggungjawab untuk mendidik Luqman sebaiknya. Selebihnya kuserahkan pada Dia.
Dia yang menentukan segalanya. Cuma doa sentiasa kupanjatkan. Mengharapkan yang terbaik untuk kami sekeluarga.
Sekurang-kurangnya aku tidak diduga seperti Noor. 9 bulan mengandungkan bayi, menanggung perit melahirkan namun cuma sempat menatang bayi yang tidak bernyawa. Lemas di dalam perut.
Terlalu sakit untuk menerima kenyataan. Pun begitu Noor dan suami reda di atas ketentuanNya. Tidak mempersoalkan takdir yang menjadi suratan hidup.
Tidak lama untuk Dia memberikan rezeki buat pasangan yang tenang dalam menerima ujianNya. Noor kini kembali tersenyum dengan kehadiran si kecil yang manja.
"Kau dengan suami kau macam mana?" soal Noor mula ingin bergosip.
"Macam biasa."
"Masih miang la tu," komen Noor selamba.
Aku tergelak besar. Dituduhnya suami dingin beku milik aku itu miang. Sungguh tak sesuai dengan imej yang dimiliki dia.
"Bukan miang," nafiku. Sebagai isteri aku perlu membela nama baik suami sendiri.
"Kalau bukan miang..."
"Romantik," potongku laju.
"Erm, romantik miang buluh," akui Noor. Tawaku meledak lagi.
Suka benar Noor kalau dapat mengutuk suamiku. Tahulah suami dia baik benar orangnya. Tidak seselamba Fareeq. Sesuailah dengan Noor yang memang baik orangnya.
Aku dan Fareeq pula baru belajar untuk kembali ke jalan Dia. Masih cuba membetulkan diri. Sedikit demi sedikit cuba menambahkan amalan di dunia untuk menjadi bekalan ke akhirat sana.
"Pandai kau kutuk suami aku," tingkahku bernada marah.
"Takkan nak kutuk suami sendiri," bidas Noor selamba.
"Oh, suami kau cukup sempurna, kan?" sindirku.
"Sempurna di mata aku. Tu dah cukup," balas Noor lembut. Nadanya sudah cukup untuk memberitahuku betapa kasihnya dia terhadap suami tersayang.
"That's true," akuiku.
Cukuplah jika sempurna di mata seorang kekasih. Tiada manusia yang sempurna di atas bumi ini. Masing-masing punya kelemahan yang nyata.
Namun kelemahan itu buat pasangan saling melengkapi. Menyempurnakan kehidupan sementara
"Nikman dah balik. Next time aku call lagi," ujar Noor mematikan talian. Tidak sempat mahu membalas. Aku tergeleng sendiri.
Noor kalau soal suami memang laju meninggalkan kawan. Sentiasa mendahulukan suami. Calon isteri solehah. Taat benar.
Sejak disahkan mengandung sekali lagi, Noor sudah tidak lagi bekerja. Fokus menjaga diri dan kandungan. Bimbang kerja membebankan tubuh hingga perkara yang sama berulang kembali.
Sejak itu fokus Noor cuma pada suami dan si kecil yang belum mengerti apa-apa. Bila berkesempatan sahaja baru bertanya khabar dengan kawan baik sendiri.
"Noor... Noor..." Kepalaku tergeleng lagi.
Mata melirik ke arah Luqman yang diam membisu sedari tadi. Bertaut dahiku bila si kecil yang tadinya khusyuk tiada lagi di meja batu itu.
Ke mana menghilang?
Aku langsung tidak sedar entah bila Luqman meninggalkan aku sendiri. Terlalu asyik berborak. Mahu sahaja kutepuk dahi sendiri. Tabiat yang dilarang oleh Fareeq.
Terletus keluhan di bibir. Aku berpaling ingin melangkah kembali ke dalam rumah. Mencari kelibat si kecil yang menghilang tanpa kebenaranku.
Baru sahaja membuka langkah, mataku tertancap pada sesusuk tubuh yang bersandar selesa di dinding putih. Lagak iklan model seluar dalam. Siap berpeluk tubuh merenungku tajam.
Bagaimana aku langsung tidak perasan dia pulang ni? Habislah!
"Kenapa? Tak sedar suami you pulang?"
Sinis nada yang menampar telinga. Jelas tidak berpuas hati bila isteri sendiri tidak peka dengan kepulangan suami.
Terlalu leka melayan sahabat baik. Tidak meletakkan suami sendiri di tangga teratas. Pendek kata cemburu namanya!
Aku tersenyum manis. Cuba memadamkan amarah yang jelas membakar suamiku. Namun kaki tidak cuba melangkah merapati. Bimbang dengan tindakan yang bakal diambil dia.
"Come here, Ray," arahnya dengan nada diktator. Cukup untuk membuat kakiku melangkah sendiri. Tidak mendengar arahan tuan.
"Good girl," komen Fareeq sebaik aku berada di dalam dakapannya. Patuh dan taat. Lagak isteri mithali.
"Siapa paling penting dalam hidup you? Noor atau..."
"You," potongku laju. Jawapan jujur dari hati.
"So, kenapa you tak sedar suami you pulang waktu you bercakap dengan kawan baik you, hurm?" Sinis nadanya.
Daguku dipaut agar memandang tepat ke dalam sepasang mata hitam yang tajam merenung hingga ke dasar hatiku. Seolah cuba memastikan hanya namanya terukir di situ.
Ish, marah benar nampaknya. Patut mengaku salah atau...
Terletus tawa di bibir tanpa sebab yang pasti. Jemari dengan berani mencengkam dagunya. Sepertimana dia memaut dagu. Mataku bersinar galak. Senyuman nakal bermain di bibir.
"Jealous?" Bersahaja nadaku. Separuh bersenda.
"You... belong to me, Ray. Masa you, hati you, fikiran you... semuanya milik I. I tak nak kongsi you dengan sesiapapun," tuturnya tidak silu menunjukkan betapa posesifnya dia terhadapku.
"Dengan Noor pun tak boleh?" soalku lembut. Bibir mengulum tawa yang hampir terhambur.
Kalau dengan Noor pun cemburunya pun sudah begini, bagaimana jika ada lelaki lain yang cuba mendekat? Disebabkan itu, aku jarang sekali keluar tanpa dia di sisi. Bimbang ada pula yang cuba mengikat kakiku bila cemburunya menyerang.
Pun begitu, aku langsung tidak terasa lemas walaupun hidup tidak sebebas mana. Kerana Rayhan Amanda dengan rela hatinya sudi menjadi 'banduan' milik Fareeq Lutfi selamanya.
Bagiku tiada apa yang menarik di luar sana melebihi seorang Fareeq Lutfi. Dia terlalu memikat untukku mengalihkan perhatian pada yang lain.
"Tak boleh." Laju sahaja dia menidakkan.
"Luq?"
"Tak boleh."
Terhambur tawa yang cuba ditahan. Dengan Luqman juga mahu berkira.
"Hurm, apa yang boleh? Tell me, Reeq," soalku dengan nada sengaja kulunakkan manja.
Jemari yang tadinya bermain di dagu kini kuleretkan ke leher. Jatuh ke dada yang sedikit terdedah. Kemudian tali leher yang tergantung longgar kupintal lagak perempuan menggoda.
"Apa yang boleh?" Soalanku diajuk dia.
Tiada jawapan yang kuterima. Sebaliknya tubuhku dicempung dia. Kakinya melangkah laju membawaku ke dalam rumah. Seolah langsung tidak menjadi beban buatnya.
Aku tersenyum sinis. Soalan dibalas dengan tindakan. Dia lebih senang bertindak dari berbicara.
Bagaimana aku boleh lupa tentang itu? Dan hanya satu destinasi dituju. Di mana dia dapat memonopoli aku sepenuhnya. Tanpa gangguan sesiapa!

ANDA SEDANG MEMBACA
Lelah Mencintaimu II
RomancePerpisahan kali pertama masih mampu dihadapi. Saat perpisahan itu berulang kembali, hati tidak cukup ampuh untuk menanggung sakitnya. Kenapa? Mengapa? Soalan yang sama membelenggu diri. Aku mahukan jawapan. Sedangkan dia bisu tanpa kata. Hanya kedin...