SEKEJAP sahaja aku sudah terbiasa dengan corak kehidupan seorang mahasiswa yang tidak lari dari kuliah dan kelas tutorial. Mulanya aku cuak kerana kuliah disampaikan dalam Bahasa Inggeris. Bertambah haru-biru mendengar kuliah dari pensyarah berbangsa India dan Cina, kerana loghat mereka agak berlainan. Namun alah bisa tegal biasa.
Letih dan tepu menghadap nota-nota kuliah dan tugasan yang menimbun, aku mengikut Alisa ke Alor Setar. Sekadar mahu berkenalan dengan daerah kelahiran si teman di samping mencari barang keperluan serta menyegarkan otak yang bagai kekurangan oksigen.
Sebagai 'tuan rumah', Alisa cekap memandu ke sana-sini. Sekali-sekala keluar meluaskan pandangan apalah salahnya. Masakan aku hendak terperap di dalam bilik sahaja. Begitulah aku menindih rasa bersalah mengabaikan pesanan Kak Ima. Berkali-kali dia memberi peringatan agar aku tidak senang-senang membuang waktu, tenaga dan wang untuk perkara yang tidak berfaedah.
"Nur kena bijak uruskan masa dan kewangan." Suaranya yang berbaur ugutan jelas di gegendang telinga.
Kami berpusing-pusing menjelajah bangunan Pacific Star Parade. Berhenti di sebuah kedai ke sebuah kedai melelahkan kaki sekali gus menumpulkan keghairahanku mencuci mata.
Sementara menanti, aku duduk di bangku yang tersedia di luar kedai. Anak tekak digigit kehausan memaksaku meneguk air mineral yang sedia kubawa.
"Dah dapat semua barang?"
Anggukanku menjawab pertanyaan Alisa. Setakat satu dua barang keperluan tidak susah bagiku mencarinya.
"Kau beli itu aje? Cukup ke? Kan duit PTPTN dah masuk, bila lagi nak guna?"
Mengikut sorot mata Alisa, pandanganku jatuh pada beg plastik di kaki berisi kertas A4 dan beberapa alat tulis. Aku sekadar membeli barang keperluan, tidak menambah dengan perkara-perkara yang tidak penting.
Kenyataan Alisa tidak aku sanggah. Memang duit Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional sudah dikreditkan ke dalam akaunku tetapi tidak bermakna aku boleh menggunakan duit itu sewenang-wenangnya. Bagi memastikan kelangsungan kewangan sehingga ke penghujung semester, kebijakasaanku dalam menguruskan belanja sangat diperlukan. Tidak tergamak rasanya mahu meminta bantuan dari Su Liya yang lelah di kampung semata-mata mahu mendapatkan wang.
Mengenangkan keadaan keluarga yang kesempitan kewangan di kampung mengajarku agar lebih berpada-pada dalam berbelanja. Mengeluarkan duit hanya untuk perkara-perkara penting.
Teratas dari itu, aku terkenangkan pesanan salah seorang guru di sekolah yang melekat kukuh di kepalaku sehingga kini. Duit pinjaman pembiayaan pendidikan atau biasiswa wajiblah digunakan dengan sebaiknya. Jangan sesekali dibazirkan ke arah perkara-perkara yang tidak langsung mendatangkan manfaat seperti membeli telefon pintar. Harus diingat dari mana sumber wang pinjaman dan biasiswa itu datang kalau tidak dari hasil kutipan zakat dan cukai yang dikenakan ke atas rakyat.
Cukai dibayar dengan harapan dapat menampung perbelanjaan kerajaan menyediakan kemudahan infrastruktur kepada rakyat termasuk kemudahan pendidikan. Maka kalau golongan pelajar menyalahgunakan duit pinjaman dan biasiswa yang diperoleh, bererti duit rakyat telah disalahgunakan. Lalu bagaimanalah keadaan golongan ini hendak berhadapan dengan soalan-soalan ALLAH di akhirat kelak?
Tak tertanggung rasa ngeri dan takut membayangkan saat-saat itu.
"Duit tu aku simpan untuk kecemasan. Kalau jadi apa-apa, senanglah nanti." Begitulah perkiraanku. Sebahagian dari jumlah wang yang kuperoleh kuserahkan kepada Su Liya buat belanja dapur dan ubat-ubatan ibu. Berkali-kali Su Liya menolak namun tak kuendahkan. Aku tahu dia lebih mengutamakan perbelanjaanku di kampus. Tetapi jumlah baki wang yang tinggal kurasakan terlebih dari cukup menyara hidupku di rantau orang.

YOU ARE READING
Dia Dambaan Hati [TERBIT]
RomanceTersisih dari perhatian ibu, Nur Zahra terlonta sendiri, tercari-cari dahan kasih untuk berpaut. Pertemuan dengan Adli Hadwan menghadirkan sinar cinta tetapi isi hatinya tidak pernah sampai ke pengetahuan lelaki itu. Perbezaan latar belakang menjad...