Pagi itu, Hospital Prima dikejutkan dengan berita kemalangan sehingga meragut nyawa lagi. Ia merupakan kejadian kedua berlaku di dalam hospital ini. Dan jarak semuanya terlalu singkat.
Pihak pengurusan Hospital Prima sudah melakukan siasatan mengenai kejadian kemalangan pelik sedang berlaku di hospital.
Dan anehnya, semua maklumat berkenaan kejadian tersebut dirahsiakan dari semua warga Hospital Prima.
Pendek kata, semua warga Hospital Prima sendiri tidak tahu apa punca sebenar, kenapa dan bagaimana kemalangan itu berlaku.
Dan sudah mula ada suara-suara lain mengatakan pihak pengurusan sengaja menyembunyikan perihal sebenar untuk menghalang serangan panik di kalangan warga hospital.
Ada juga suara lain mengatakan kemalangan itu berpunca daripada 'dia'. 'Dia' yang sudah sebati dengan nama Hospital Prima sejak 20 tahun lalu.
Semua warga Hospital Prima sudah berada dalam keadaan ketakutan. Takut, andai kata mereka pula akan menjadi mangsa seterusnya.
Masing-masing sudah tidak mahu bekerja syif malam terutamanya. Tapi bila pihak atasan sudah mengeluarkan arahan berbaur ugutan, mereka tiada pilihan. Terpaksa menerima arahan pihak atasan tanpa rela.
"Betul! Ini semua angkara 'dia'. Sebab tu pihak pengurusan rahsiakan semuanya daripada kita."
"Tak mungkinlah."
"Aku tak tipu, ini semua angkara Sutinah..."
"Roh orang yang telah mati, jangan diseru!" larang rakannya pantas.
"Pak cik aku cakap, dulu pun pernah berlaku kejadian hampir sama. Kemalangan pelik tak seharusnya berlaku, tapi tetap meragut nyawa orang. Dan bila kemalangan pertama tercetus, ia tak akan berakhir di situ saja. Pasti akan ada kemalangan seterusnya. Dan seterusnya..." ujarnya.
Satu per satu batang jarinya diangkat dan ditunjukkan tepat pada rakannya yang sudah menggigil di situ.
"Kau buat aku takut..."
"Aku cakap apa yang aku tahu. Sebab itu, pantang larang itu dibuat."
Dia sudah telan liur. Ya! Sejak dari hari pertama dia bekerja di situ sudah diberitahu akan pantang larang yang satu tu.
'Roh orang yang telah mati, jangan diseru!'
"Kiranya...ada yang sudah langgar pantang larang tu?"
"Mungkin. Dan sebab itu nyawa menjadi taruhan."
Dia telan liur lagi. Sungguh! Kalau dia tahu ada rahsia dan misteri tersembunyi di hospital ini, dia pun tak akan datang bekerja di situ. Tempah maut namanya!
"Jadi...kita macam mana? Jangan kata tunggu masa untuk mati."
"Kau kena ingat, mati itu pasti. Yang membezakan mungkin cepat atau lambat."
"Aku tahu tu. Tapi...aku tak nak mati di tangan 'dia'. Sebab aku tak pernah langgar pantang larang tu."
"Berdoa sajalah, agar kita terlepas daripada menjadi mangsa seterusnya."
Bicaranya kedengaran tenang saja. Tapi, gelora di hatinya hanya dia saja yang tahu. Tiada kata lain lagi yang boleh diluahkan untuk menenangkan perasaan rakannya itu.
Perasaannya sendiri pun sudah tidak tentu hala sejak kemalangan pertama berlaku. Dia tahu, itu baru permulaan. Akan ada banyak lagi nyawa yang akan menjadi pertaruhan.
Itu cerita yang pernah didengari daripada pak ciknya dulu. Itu pun sebelum pak cik turut menjadi mangsa 'dia'.
Biar pihak pengurusan cuba menyembunyikan hakikat sebenar, warga hospital tetap mengetahui itu semua angkara 'dia'. Angkara Sutinah...yang mahukan nyawa sebagai taruhan.
ps : Maaf terlambat update. Sibuk seminggu dua ni.
Macam biasalah kawan-kawan pembaca semua. Rajin-rajinkan tinggalkan komen di sini. Segala komen anda diperhatikan oleh 'mata-mata tajam' editor. Hehehe....
Mana tau, disebabkan komen-komen korang buat editor tergerak hati nak bukukan #Sutinah ni. ^___________________^Sama-samalah kita berdoa agar manuskrip ni LULUS penilaian. Nebesnya!!!!

YOU ARE READING
Sumpah Sundal Sutinah
Horror"Roh orang yang sudah mati, jangan diseru!" BLURB - (buat pertama kalinya penulis tepek blurb. Sebelum ni tanpa blurb, tapi kalian tetap gigih tunggu tiap bab. Terharu!!!) "Roh orang yang sudah mati, jangan diseru!" Setiap warga Hospital Prima tahu...