Sumpah Sundal Sutinah : Bab 15

3.8K 237 42
                                    


Sedari tadi, anak mata Jalani memandang Rosnah yang sedang lena di situ. Itu pun selepas Rosnah naik gila, meracau dan menangis teresak-esak. Habis bersepah ruang tamu dikerjakannya.

Sekarang, selepas puas dipujuk untuk makan ubat barulah Rosnah dapat tidur dengan lena di situ.

Dan dia pun baru boleh menarik nafas lega.

Tak sangka, penyakit lama Rosnah datang menyerang lagi. Sangkanya, Rosnah sudah semakin pulih bila penyakitnya sudah lama tidak datang menyerang.

Mujur saja Jalani balik kerja awal berbanding kebiasaannya. Dia tak dapat bayangkan apa yang akan dilakukan oleh Rosnah jika dia terlambat walau sedikit.

Mungkin...sampai sanggup mencederakan dirinya sendiri. Macam pernah dilakukan dulu.

Biasanya, bila sakit Rosnah datang menyerang ia tak akan pulih dalam waktu sekejap.

Kadangkala, sampai dua tiga minggu ataupun bulan. Nampaknya, dia terpaksa carikan jururawat persendirian untuk pantau keadaan Rosnah.

Risau! Kalau tidak dikawal, ia makin melarat. Sehinggakan boleh memudaratkan diri sendiri.

Jalani bangkit dan melangkah keluar dari bilik itu. Tidak mahu tidur lena isterinya itu terganggu dengan kehadirannya di situ. Tambahan pula, dia pula masih ada urusan kerja yang perlu dilakukan.

Langkah kaki Jalani menuju ke arah bilik kerjanya. Dia melangkah masuk dan terus saja melabuhkan punggungnya di atas kerusi.

Badannya disandarkan pada kerusi. Mahu melepaskan penat dan lelah dalam menguruskan penyakit lama Rosnah sebentar tadi.

Kepalanya kusut, bila tiba-tiba sahaja teringatkan racau Rosnah yang berulang kali menyebut nama itu. Sebaris nama mengimbau kejadian lama. Kisah di antara dia dan pemilik nama itu.

Seketika kemudian, matanya dipejam rapat. Cuba untuk mencari sedikit ketenangan untuk dirinya. Bila nafasnya sudah kedengaran teratur, matanya dibuka. Satu keluhan berat dilepaskan.

Tubuh Jalani kembali tegak. Dia mengeluarkan kunci laci meja yang disembunyikan di antara susunan buku di atas mejanya. Kunci itu dimasukkan pada laci meja.

Perlahan-lahan, dia menarik laci meja. Ada sebuah kotak di situ. Kotak itu diambil lalu diletakkan di atas meja. Sebaik sahaja kotak itu dibuka, ada sekeping gambar jelas kelihatan di situ.

Bibir Jalani terus saja mengukir senyuman, sebaik sahaja melihat senyuman pada gambar itu. Dalam sekelip mata, rasa kusutnya hilang begitu saja.

"Sutinah..." ujar Jalani perlahan.

Gambar itu diambil dan ditatap lama. Seakan melepaskan perasaan rindu yang dipendam lama.

"Hidup aku huru-hara kerana kau, Sutinah."

Jari Jalani sudah menyentuh wajah sedang tersenyum lebar di situ. Lama. Sikit pun anak matanya tidak berganjak dari menatap raut wajah yang berjaya membuatkan hidupnya huru-hara.

Klak! Bunyi pintu ditutup rapat.

Jalani tersentak. Wajah Sutinah yang sedari tadi bermain di benaknya hilang entah ke mana. Dia menoleh. Pintu biliknya tertutup rapat. Masih lagi sama seperti dia masuk tadi.

Jadi, bunyi apa dia dengar tadi?

Anak mata Jalani kembali terarah pada sekeping gambar di tangannya. Kemudian, gambar itu dimasukkan ke dalam kotak. Lalu dimasukkan ke dalam laci. 

Sebaik sahaja mengunci laci tersebut, kunci itu disorokkan di antara buku tersusun kemas di atas mejanya.

Jalani bangkit. Dia perlu membersihkan dirinya dan kemudian bersiap-siap untuk tidur.

Masanya sudah banyak terbuang dengan begitu saja bila teringatkan kenangan lama di antara dia dan Sutinah. Pertemuan pertama di antara mereka berdua.

Tanpa Jalani sedari, setiap tindak tanduknya itu diperhatikan oleh sepasang mata merah bagaikan saga. Yang sedari tadi duduk tercongok di atas almari pakaian Jalani. 

Rambutnya panjang mengurai sampaikan jatuh di sisi almari. Wajahnya pula terlindung dek rambut yang panjang itu.

Langkah Jalani terhenti. Entah kenapa, tiba-tiba saja dia merasa meremang di situ. Seperti ada mata lain sedang memandang ke arahnya.

Pantas dia menoleh. Anak matanya meliar ruang bilik yang hanya diterangi cahaya lampu meja kerjanya. Kosong! Tiada siapa pun di situ melainkan dia.

Jalani melangkah ke arah almari pakaian pula. Mahu mengambil pakaian bersih. Sengaja dia letakkan almari pakaian di bilik kerja. Senang untuk bersihkan diri jika dia pulang lewat. Kononnya, tidak mahu menganggu Rosnah yang sudah lena.

Langkah kaki Jalani terhenti lagi. Betul-betul di hadapan almari. Spontan, tangannya menyentuh kepalanya. Terasa seperti ada sesuatu yang lembut menyentuh kepalanya sebentar tadi.

Jalani tergamam bila tiba-tiba saja dia dikejutkan dengan suara mengilai yang memecah kesunyian malam. Diikuti pula dengan bunyi salakan anjing bersahutan.

Bulu romanya juga sudah tegak berdiri. Peluh dingin juga sudah mula kelihatan di gigi rambutnya.

"Suara mengilai itu....pontianak? Ataupun...itu suara Sutinah?"

Gulp! Jalani telan liur dengan payahnya.

Baru dia teringat akan pantang larang yang sudah diamalkan di Hospital Prima 20 tahun lalu.

"Roh orang yang sudah mati, jangan diseru!"

Dan dia...baru sekejap tadi menyeru nama Sutinah. Menyeru nama itu tanpa disedarinya oleh akal warasnya.





ps : Nah! Pasti korang terkujat tetiba ada update baru ya. Jawapannya, ini bab istimewa untuk kalian. Khas sebelum bulan Ramadhan datang menjenguk. Bulan yang pastinya akan mengurung segala jenis setan dan jin. Termasuk #Sutinah .ngeee

Agaknya, akan ada berapa bab istimewa? Jeng! Jeng! Makanya, rajin-rajinlah jenguk #SumpahSundalSutinah ya. Untung-untung ada bab baru, gituw!

Nak tunggu terbit entah bila, jadi penulis belanja bab istimewa ini. Harapnya, jangan lupakan #Sutinah ya.

Macam biasalah korang ya. Rajinkan-rajinkan tinggalkan komen. Barulah penulis nampak 'JEJAK' korang semua. Wah, gitu!

Sumpah Sundal SutinahWhere stories live. Discover now