PELUKAN dieratkan. Bayu yang berpuput lembut menambahkan rasa nyaman yang melilit tubuh. Aku yang duduk dengan kaki telunjur ke hadapan hanya mampu mengukir senyum. Mata jauh memandang tasik yang diselabuti kabut di hadapan sedangkan fikiran sudah jauh menerawang entah ke mana. Aku tersenyum lagi. Indahnya punya rasa sebegini. Rasa macam nak terjun dalam tasik kemudian bangun balik. Betulkah apa yang aku rasakan sekarang ini?
“Sayang happy?” Tangan yang melingkari di pinggang membuatkan jantungku ikut sama mahu terlompat keluar. Aku berpaling melihat dia yang tersenyum mesra memandangku membuatkan wajah ini spontan dilarikan ke arah lain. Alahai.. kacak pulak aku tengok suami aku ini.
“Err..” Badan digerakkan sedikit dengan harapan tangan yang melingkari di pinggang akan memahami. Tapi aku lupa. Empunya tangan itu kan selalu menafsir jauh menyimpang dari maksud sebenar. Sudahnya, dudukku langsung terkunci. Tak dapat bergerak walau sedikitpun.
“Abang sayang sangat kat sayang. Sangat-sangat!” Aku tatap mata redup itu. Tepat memanah hingga ke dasar hatiku. Muka aku panas! Muka aku panas! Aduh, segannya Ya Allah..
“Sayang abang, tak?” soalnya membuatkan aku rasa nak lari keliling tasik sekarang jugak!
Tangan yang tadinya di pinggang sudah berubah posisi. Dia memaut kejap bahuku lalu menarik kepalaku dekat ke dada kanannya. Tubuh ini tidak pula menolak, hanya membiarkan kepalaku mendarat elok di situ. Senang pastinya. Hati berbunga indah tak terkata. Alhamdulillah..
“Being with you would be my last wish of this whole life, if Allah wills it.” Erk! Wahai mulut, kenapalah lidahmu begitu kelu pagi ini. Please, say something!
“Abang..” panggilku lembut. Kehangatan tubuhnya mendamaikan jiwaku. Aku ralit memerhati dua orang kanak-kanak yang sedang berbasikal sambil diawasi sepasang orang dewasa. Ibu dan ayah mereka barangkali. Masing-masing berambut perang. Comelnya anak mat saleh ini.
“Hmm..” Gumamnya betul-betul di sebelahku.
“Kalau sayang lari, abang kejar tak?” Entah dari mana soalan itu pula yang terbit dari mulutku. Aku pun tak pasti kenapa tiba-tiba terasa ingin dikejar pula. Adakah kerana iklim di tempat orang berbeza. Mungkin kot! Kalau kat Malaysia tiba-tiba main kejar-kejar, sah-sah semua mata tak lepas pandang. Lagipun, dengan suami aku juga. Bukan orang lain..
Ketawanya meletus buat seketika. “Try me..”
Usai berkata demikian, aku terus bangun dan maju ke hadapan. Sempat aku tolak tubuhnya ke belakang lalu berlari meninggalkan si dia yang masih terkial-kial mahu bangun. Langkah dilajukan. Ada juga beberapa warga tempatan yang memandang namun aku buat endah tak endah saja. Bukannya mereka kisah sangat. Dan hatiku saat itu, terasa bagai di awang-awangan. Syukurlah, Ya Allah. Engkau makbulkan doa hamba.
“Umi!”
Aku mengusap belakang kepala yang terasa berdenyut-denyut. ‘Hakimi’ yang turut sama tergolek di sebelahku, kutolak lembut. Sakit doh!
“Janganlah tolak-tolak!” ucapku sebal sambil bangun memanjat katil. Aku tarik ‘Hakimi’ bersamaku. Comforter ditarik menyelubungi tubuh. Kat mana aku tadi?
Bunyi ketukan bertalu-talu di muka pintu menganggu khayalku. Aku tekapkan bantal ke telinga dengan harapan Hakimi akan menjelma semula dalam keadaan yang indah tadi.
“Aufa!” Jeritan pula memenuhi ruang suasana. Aku pekakkan telinga lagi. Dah penat nanti, pandai-pandailah dia senyap.
“Aufa Aulia!” Suara garau itu bergema lagi diselangi bunyi ketukan yang semakin hebat di pintu. Kalau lima saat lagi aku tak buka, boleh roboh agaknya pintu tu. Dengan rasa sebal kerana tidur lenaku diganggu, aku melangkah dengan separuh mata terbuka menuju ke pintu.
