"HAH! Nak ke mana pula pagi-pagi buta ni? Kata cuti!" Cik Pah sergah anak daranya yang sedang terkocoh-kocoh membuka pintu.
Suria berpatah balik masuk ke dalam rumah dan menarik tangan Cik Pah untuk disalam.
"Suria ada hal, mak. Kata acik ustazah urgent sangat." Suria berkejar semula ke pintu selesai berkata-kata.
"Kalau pasai ustazah tu, apa-apa pun hang sanggup noh. Kalau mak sendiri, berkira!" Suria hanya tersengih. Dia bagi satu flying kiss baik punya untuk Cik Pah. Jangan ingat Ratna saja yang boleh love to the moon and back, dia pun tak kurang hebat.
Harap hati Cik Pah terbuka untuk terima dia seadanya. Kalau boleh, dia tak mahu berkata sesuatu yang menyakitkan hati Cik Pah. Dia tak suka dengan cara Ratna yang memperbodohkan maknya. Dan dia ingin menambat hati maknya juga. Tetapi dengan caranya. Sebab dia adalah dirinya. Tak perlu dia berpura-pura menjadi orang lain supaya disayangi atau dipandang tinggi.
Enjin Perodua Viva dihidupkan. Dalam pada menunggu enjin kereta panas, Suria melihat Cik Pah masih berdiri di muka pintu memerhatikannya. Tersentuh juga hati. Dalam suka membebel tahap berang, tetap punya kasih sayang pada anak yang dikandungnya.
Suria melambai tangan dan melayangkan satu lagi flying kiss buat Cik Pah sebelum mengundurkan kereta dan pergi dari situ. Tak kesah walau Cik Pah sekadar memandang dia pergi, tidak membalas lambaiannya. Dia tak kecil hati. Tahu yang jauh dalam lubuk hati Cik Pah, masih tersemat perasaan kasih yang mendalam untuknya. Kasih pada anak orang, tetap tak akan sama dengan kasih terhadap anak sendiri.
Sekejap saja Suria sudah sampai di depan rumah Ustazah Latifah. Tak susah, tekan pedal minyak, tekan brek, dah sampai. Hari ini acik ustazah kesayangannya membuat permintaan lebih sedikit. Kena datang dengan kereta, dengan kadar segera! Sangat jarang Ustazah Latifah buat permintaan begini. Orangnya jenis tenang aje bila meminta pertolongan. Tidak memaksa. Sebab tu Suria sedikit cemas tadi. Manalah tahu kut-kut ada kecemasan dan Ustazah Latifah sangat perlukan bantuan dia.
Ustazah Latifah sudah sedia menunggu di halaman rumah dengan jubah dan tudung labuhnya. Ops, ada beg tersangkut di bahu. Nampak saja kereta Suria, Ustazah Latifah terus menghampiri. Buka pintu dan terus duduk di atas kerusi penumpang hadapan. Nasib baik Perodua Viva Suria dah berhenti betul-betul. Hairan Suria. Tak pula Ustazah Latifah beritahu nak ke mana-mana.
"Assalamualaikum, acik."
"Waalaikumussalam, anak gadis kesayangan acik. Jom kita pergi ke rumah nenek Sophea sekarang."
"Hah? Rumah Pak Cik Rahman tu? Kenapa dan ada apa, acik?" Mata Suria yang comel sudah membulat.
Ustazah Latifah senyum.
"Kalau bagi tahu awal-awal, kamu mesti reject, kan?"
Bukan Ustazah Latifah tak tahu dua orang tu hari-hari bergaduh sebelum dan selepas mengaji. Peliknya, masa mengaji boleh pula kedua-duanya fokus dan bersungguh-sungguh. Lebih menghairankan lagi, Gary tak kesah pun belajar mengaji dengan Suria. Jangan jadi macam Sophea cukuplah. Dengan dia tak mahu, nak kakak ustazah juga.
Kalau Gary pun nak Suria aje mengajar, mahu haru. Bukannya apa, kasihan juga kat Suria... Terkejar sana, terkejar sini walaupun katanya dia okey aje. Tidak pernah kata tidak. Bangun tidur, kena ajar Sophea, malam sebelum tidur kena ajar papa Sophea pula.
"Haruslah reject, acik!" Kaki Suria tekan juga pedal minyak.
"Tapi kenapa nak pergi rumah dia orang? Pagi-pagi pula tu? Pak Cik Rahman tu nak khatam Quran ke? Kita nak tolong masak buat kenduri ke?"
Ustazah Latifah gelak kecil.
"Kamu ni tak teragak-agak langsung menyoal! Dahlah, bawalah kereta cepat-cepat. Nenek Sophea tu dah tak tahu nak buat apa dengan cucu dia. Tu yang perlukan bantuan."

YOU ARE READING
SI BAJU KURUNG KASUT KANVAS
General FictionTajuk: Si Baju Kurung Kasut Kanvas Penulis: Umie Nadzimah Muka Surat : 576 Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-033-5 Harga: RM23.00 (Semenanjung) // RM26.00 (Sabah & Sarawak) DAPATKAN SEGERA DI WEBSITE http://karyaseni.my/ http://p2u.my/ ATAU ...