BAB 2

4.9K 99 3
                                    

SURIA memandang tayar keretanya sambil tersengih. Hasil kerja tangan pak cik sado hari tu. Bukan, pak cik berkualiti. Heh... Lagi elok pak cik sado berkualiti. Perfect. Terus dia pakai tayar tu, tak tukar dah. Dia cuma pergi buat balancing supaya tayar kiri dan kanan seimbang.

Tayar yang bocor tu dia buat simpanan selepas dibaik pulih. Kenangan belaka tu. Hari-hari pandang tayar ni mesti tersengih. Kerana tayar ini, dia bertemu dengan pak cik sado berkualiti yang begitu istimewa caranya. Sempat Janam Janam lagi. Pak cik yang bermulut kejam, tapi hati agak baik. Dia sukalah lelaki stail tu. Ada kualiti. Chewah!

Sayang sekali, sejak hari tu dia tak pernah jumpa lagi pak cik sado tu. Hilang begitu sahaja. Suria ada juga berlegar-legar semula di kawasan restoran tu, tetapi sudah tentu tak akan ada kebetulan lagi. Sekadar berangan-angan seorang ajelah.

Entah apa-apa Si Suria ni. Cepat benar perasannya. Ada ke sekali jumpa dengan orang tu dah mula berangan Janam Janam? Entah-entah laki orang atau bapa orang! Jika dilihat dari segi rupa tu memang masuk dalam grup suami orang. Matang dan sedikit berumur. Bukan awal 20-an atau baya-baya dia.

"Sudah-sudahlah berangan tu, Cik Suria oi! Macam orang mereng tengok tayar kereta, tersengih-sengih... Eee, tak faham la mak! Ada anak dara sorang tapi kelaku tak berjenis. Apalah malangnya nasib mak ni?"

Cik Pah sedang berdiri menyandar di muka pintu. Suria terus berdiri tegak. Mendengar suara Cik Pah yang lain macam itu, dia pasti nanti radio Bangi akan meleret-leret dari pagi sampai ke petang. Dari senja hinggalah ke larut malam. Non stop! Tahan telinga sahaja.

Suria sengih kepada maknya. Cik Pah dah siap berpakaian cantik, blaus lycra kembang dengan skirt labuhnya. Gincu pink di bibir tak pernah lepas. Memang dia kalah terduduk jika dibandingkan dengan penampilan maknya. Cik Pah berani pakai gincu warna tu, sedangkan dia nak calit sikit pun rasa takut. Rasa bibir kembang setaman aje dia bila cuba-cuba tenyeh.

"Hang tak payah nak sengih kat mak sangatlah."

Jangan keliru dengan loghat yang diguna Suria anak-beranak bila di rumah. Nak kata utara, taklah semua utara. Campur-campur. Dia orang ni dah lama tinggal di Bangi. Walau nombor kad pengenalan dah jadi orang Selangor, disebabkan darah pekat yang mengalir di dalam tubuh adalah keturunan Parit Buntar sana, maka perkataan hang, gatai, awatnya, dan ribu-ribu perkataan loghat utagha yang lain tu tetap meniti di bibir terutama bibir comel Cik Pah. Hak dia kena kata lawa semedang, jika tak merajuk. Namun Encik Rahim iaitu abah Suria guna loghat Selangor yang biasa-biasa ni, dia jarang cakap utara.

Lagi sekali jangan dok keliru no. Parit Buntar tu terletak di Perak, tapi orang-orang kat sana tak cakap ate, kome, teman bagai. Orang Parit Buntar cakap loghat utara. Pulau Pinang mai.

"Mak nak apa cari Suria?"

"Aik... Hang boleh pi tanya lagi? Semalam kan mak dah booking hang nak bawa pi shopping?"

Suria tepuk dahi.

"Waduh... Lupa la, mak!"

Cik Pah terus bercekak pinggang.

"Hang jangan dok buat perangai. Mak dah siap, hang pi siap cepat! Rugi segala make up ni kalau tak jadi pi."

"Alah, mak... Suria ada janji dengan acik ustazah. Ada kerja sikit nak buat."

Sebenarnya janji dengan Ahmad Fauzi alias Abang Poji, anak Ustazah Latifah. Suria nak tolong Abang Poji bersihkan rumah kucing gelandangan di Bukit Beruntung. Kalau berterus-terang karang tentu Cik Pah naik angin kus-kus. Pantang Cik Pah kalau dengar ada janji dengan Abang Poji. Cik Pah tak suka Abang Poji. Kata Cik Pah, Abang Poji tu tiga suku. Ada ke kerja engineer elok-elok, berhenti? Lepas tu minta sedekah untuk bela kucing-kucing yang dikutip di jalanan? Tak ada sebarang faedah pun yang dapat. Bukan kucing tu boleh bagi duit. Kalau bela ayam ke, itik ke, ada juga pulangan. Nak pula ayam kampung.

SI BAJU KURUNG KASUT KANVASTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang