Janji diikat...
HUMAIRA duduk termenung di atas katil. Telekung yang masih tersarung di atas kepala masih belum dibuka. Hari ini sudah masuk hari ketiga Wafiq dan Haikal bermusafir ke rumah tok abahnya di Kota Tinggi.
Masih terngiang-ngiang di telinganya suara Haikal ketika mereka berbual di telefon sebentar tadi. Suara ceria adiknya menceritakan tingkah Wafiq di sana. Wafiq itu baiklah, Wafiq pandai ambil hati tok abahlah, Wafiq pemurah belanja mereka makanlah, Wafiq itu, Wafiq ini. Semua yang baik-baik tentang Wafiq diceritakan oleh adiknya itu, bagaikan mempromosi barangan pula.
Nampaknya Wafiq mudah saja mengambil hati tok abahnya dan Haikal. Haikal juga tidak habis-habis memuji bacaan Wafiq yang merdu ketika menjadi imam, katanya bacaan Wafiq sempurna tajwidnya dan Wafiq juga pandai bertaranum.
Humaira menarik nafas panjang, nampaknya Wafiq berjaya dengan cabaran kali ini. Maka, apa lagi sebab dia harus menolak lelaki itu? Istikharahnya juga menunjukkan tanda-tanda positif. Memang Humaira tak dapat nafikan Wafiq memang seorang pemuda yang baik. Cuma dia jadi tertanya-tanya sendiri bagaimana Wafiq boleh menyukainya dan nekad merisik dia.
Humaira masih teringat Wafiq yang gugup ketika berhadapan dengannya di ruang tamu rumahnya. Lain yang ingin dibincang pemuda itu, lain pula yang terkeluar dari mulutnya.
"Errr... Kenapa famili awak panggil Mia?" Soalan itu yang terlontar dari mulut Wafiq ketika itu. Humaira yakin sebenarnya itu bukanlah soalan yang ingin ditanya Wafiq. Melihat wajah gugup Wafiq saja sudah meyakinkan dia.
Selepas mendapat keyakinan barulah pemuda itu serius membincangkan hubungan mereka di hadapan ibu dan adiknya Haikal. Masih dia ingat senyuman di bibir Haikal yang menahan tawa melihat wajah kalut Wafiq.
Humaira mengeluh panjang. Dia membuka telekung di kepala. Mengikut perancangan Wafiq, jika tiada aral dia ingin menikahi Humaira sebelum pemuda itu menjalani latihan praktikal. Ini bermakna hanya tinggal kira-kira empat bulan sahaja lagi.
Humaira menarik nafas panjang. Bersediakah dirinya untuk menjadi isteri lelaki itu? Dan persoalannya masih belum dirungkai, mengapa dia yang dipilih Wafiq sebagai teman hidup? Bagaimana kehidupan mereka selepas bernikah nanti?
Humaira membuka tingkap bilik, angin pagi mula menerobos masuk ke dalam bilik. Sejuknya mendamaikan, fresh air lagi. Hari ini Wafiq akan pulang dari Kota Tinggi dan pemuda itu inginkan kata putus sebelum menghantar orang tuanya untuk majlis pertunangan.
Sedang Humaira ralit memerhati keindahan pagi, pintu biliknya diketuk.
"Masuklah ibu, pintu tak kunci," ujar Humaira, dia yakin ibunya yang mengetuk pintu biliknya sebentar tadi.
Puan Hanis melangkah masuk ke dalam bilik anak sulungnya. Dia memerhati bilik yang kemas tersusun itu. Hatinya lega, anak yang dijaga selama ini kian menginjak dewasa malah semakin matang.
"Awalnya anak ibu ni dah termenung?" usik Puan Hanis. Dia melabuhkan punggungnya di atas katil. Memerhatikan Humaira yang ralit merenung suasana pagi.
Humaira mengorak langkah menghampiri ibunya. Dia tersenyum.
"Mana ada Mia termenung ibu," dalih Humaira. Dia duduk di sebelah ibunya.
"Ibu, Mia nak baring dekat paha ibu. Boleh?" pinta Humaira manja.
"Boleh, sayang," balas Puan Hanis lembut.
Humaira mula merebahkan kepalanya di atas paha ibunya. Terasa segala beban yang dihadapinya terbang begitu saja. Dia perasan ada tangan yang sedang mengusap lembut rambutnya. Oh ibu, sentuhannya memang mendamaikan. Hilang segala resah dalam hati.

YOU ARE READING
Hijrah Cinta, Kerana Dia
General FictionTajuk: Hijrah Cinta Kerana Dia Penulis: Fieyta An Nisa Penerbit: Karyaseni Harga: RM24.00 (Semenanjung) // RM27.00 (Sabah & Sarawak) http://karyaseni.my/index.php/novel/hijrah-cinta,-kerana-dia-detail