Jatuh cinta. Semudah itukah?
"JATUH cinta? Dengan siapa? Sejak bila?" Bertubi-tubi soalan yang terpancul dari bibir Hafiz. Sungguh dia terperanjat.
Wafiq meraup belakang rambutnya kasar. Dia sendiri keliru. Dia sendiri buntu.
"Errr..." jawabnya gugup. Tidak tahu bagaimana mahu menjawab kesemua soalan daripada Hafiz sebentar tadi.
"Dengan siapa? Sejak bila?" ulang Hafiz lagi. Dia inginkan jawapan.
"Humaira..." Hanya itu yang terluah.
Hafiz mengerutkan dahinya, memproses jawapan yang diterima.
"Humaira mana?" soalnya lagi.
Hafiz merenung wajah Wafiq lama. Mana dia tak terkejut jika teman yang selama ini ambil tak kesah tentang perempuan tiba-tiba jatuh cinta. Tak ada angin tak ada ribut, taufan jauh sekali. Haish.
"Humaira..." bicara Wafiq tergantung lagi.
Wafiq sendiri kelu nak menerangkan tentang Humaira. Dia sendiri bukanlah kenal sangat tentang Humaira. Tapi dia yakin tentang perasaannya kini. Ya, dia jatuh cinta dengan Humaira dari sisi lain, sisi yang bukan di hadapannya ketika mereka berjumpa.
Dia teringat coretan gadis itu yang dibacanya dahulu. Ya, dia jatuh cinta dengan luahan si pemilik diari. Dia ingin kenal lebih rapat dengan si empunya diri. Masih terbayang-bayang dalam mindanya tentang luahan gadis itu.
Aku hanya wanita biasa, yang dahulunya jauh dari Ilahi.
Tapi aku nekad berubah, mengejar cinta Sang Ilahi.
Walau jauh di sudut hati, kadangkala aku rebah. :'(
Benarlah jalan mujahadah tak selalunya mudah.
Tapi mana mungkin aku menyerah.
Kerana aku tahu ganjarannya pasti indah.
Oh Tuhan, peluklah aku dengan maghfirah-Mu,
Pandanglah aku dengan rahmat-Mu,
Didiklah aku dengan kasih sayang-Mu.
Jika ada cinta manusia yang hadir dalam hidupku selepas ini,
Biarlah cinta itu menuju Ilahi,
Bukan hanya untuk duniawi,
Tapi untuk mendapat kasih sayang Ilahi.
Wahai Adam yang kunanti,
Aku tak mahu kau melamarku hanya untuk kepuasan dirimu,
Tapi lamarlah aku untuk menjadi sayap perjuangan agamamu.
"Hesy kau ni, Humaira mana ni? Budak engine juga?" teka Hafiz sedikit geram. Sejak bila pula Wafiq jadi kaku? Jadi bisu? Haih.
Wafiq hanya tayang wajah tak bersalah. Dia sendiri sukar nak terangkan tentang Humaira. Tiba-tiba akalnya mencerna idea. Yeah.
"Humaira yang langgar aku dulu. Yang rambut aku basah waktu balik kelas tu. Kau ingat lagi tak?" soal Wafiq serius.
"Yang kau kata nama dia comot tu? Yang kau balik marah-marah tu? Tapi macam mana?"
Hafiz sudah menggaru kepalanya yang tidak gatal. Hari tu gaduh macam singa dengan harimau, macam mana pula boleh fall in love ni?
Wafiq sudah tergelak kecil. Comot? Haih, jujur sangatlah Wafiq ni. Lurus macam highway, highway pun sekarang dah tak lurus.
"Kenapa kau gelak?" Masam wajah Hafiz.
"Nama dia bukan comot..."
"Tak kesahlah pasal nama tu, tapi macam mana kau boleh suka kat dia?" Hafiz menyoal pelik.

YOU ARE READING
Hijrah Cinta, Kerana Dia
General FictionTajuk: Hijrah Cinta Kerana Dia Penulis: Fieyta An Nisa Penerbit: Karyaseni Harga: RM24.00 (Semenanjung) // RM27.00 (Sabah & Sarawak) http://karyaseni.my/index.php/novel/hijrah-cinta,-kerana-dia-detail