"SAYA dah dapat maklumat mengenai lelaki itu, Puan Sri. Nama dia Asyraf Kamil. Dia bekerja di Syarikat Hedrot Lewis Corporation," ujar Ben iaitu lelaki yang diupah sebagai penyiasat persendirian oleh Puan Sri Aisyah.
Dia menghulurkan sampul yang berwarna coklat kepada bosnya. Puan Sri Aisyah segera membuka sampul itu. Matanya melihat beberapa keping gambar Asyraf Kamil.
Dia tersenyum puas. Akhirnya! Misinya hampir menjadi! Ben yang memandang reaksi wajah bosnya itu turut tersenyum. Dia mula menyedut minuman di depannya. Matanya mula memandang sekilas ke arah jam tangannya. Lambat betul minah ini! kutuknya dalam hati.
"Thanks. So, where is that woman? Tak nampak pun!" Puan Sri Aisyah mula melilau mencari kelibat perempuan yang bakal diupah nanti. Nasib baik dia dapat tempat duduk yang jauh dan tersorok dari pelanggan-pelanggan yang lain. Sengaja dia tidak mahu sesiapa menghidu rancangan mereka.
"I am sorry... Traffic jam." Gadis yang bernama Bella itu mula mengambil tempat duduk di sebelah lelaki itu. Cantik dan tinggi. Dia mula tersenyum memandang ke arah Puan Sri Aisyah. Puan Sri Aisyah mengangguk.
"Okay. You are Bella, right?"
Bella hanya mengangguk tenang. Tidak sabar memikirkan habuan yang bakal diterimanya nanti.
"Jadi you setuju nak bekerjasama dengan I?" soal Puan Sri Aisyah lagi.
"Sure! I dah tahu semuanya. Ben dah ceritakan segala-galanya kepada I untuk plan ini." Matanya melirik ke arah Ben. Ben hanya tersengih.
"Okey kalau you dah setuju, ini habuan pertama untuk you dengan Ben. Next payment, after all this is over. Tapi you kena ingat, I tak mahu nama I terlibat dalam hal ini. Faham?!" Puan Sri Aisyah menghulurkan dua keping cek kepada mereka.
Bella dan Ben terkejut dengan jumlah yang tertera di atas kedua-dua cek tersebut. Mereka mengangguk dan berterima kasih kepada wanita itu. Puan Sri Aisyah terus berlalu dari situ.
Ben dan Bella berpelukan antara satu sama lain. Tidak sangka dengan habuan yang diterima. Mereka tekad! Rancangan ini harus berjaya untuk dapat habuan yang seterusnya.
"Kalau you nak tahu, Puan Sri Aisyah tu ibu kepada Nasih Mikael. Pelanggan yang pernah datang ke kelab you dulu." Ben menghabiskan minumannya.
Bella yang mendengar kata-kata itu tersedak ketika menghirup minumannya. Tidak sangka dengan perkara yang didengarinya itu. Tergamak Puan Sri Aisyah bertindak sedemikian!
"Oh my God! Dia ibu Nasih Mikael?!" soal Bella lagi dengan riak tidak percaya. Ben hanya mengangkat kening tanda mengiakannya.
Memang Nasih Mikael dulu adalah salah seorang pelanggan di kelab tempatnya bekerja. Pelbagai cara dia cuba untuk memikat lelaki itu tetapi langsung tidak berkesan. Lelaki itu langsung tidak tergoda dengannya. Alasan lelaki itu adalah hanya datang untuk minum sahaja.
Akhirnya Bella putus asa untuk mendekati lelaki itu dan dia dapat tahu yang Nasih Mikael ke luar negara untuk bekerja. Baru-baru ini sahaja dia dapat tahu lelaki itu sudah pulang ke Malaysia dan menjadi CEO syarikat menggantikan Tan Sri Akhtar Firdaus. Bertuah sungguh kalau sesiapa yang jadi isteri lelaki itu! desis hatinya. Setelah selesai menghabiskan sisa minuman, kedua-dua mereka mula berlalu dari restoran itu.
LINA mengambil tempat untuk duduk di sebelah ibunya yang sedang menjahit pakaian yang ditempah. Niat hati mahu meminjam duit, tapi melihat ibunya tekun menjahit tanpa langsung memandang ke arahnya, dia tidak berani bersuara. Dia mula berdiri melihat beberapa keping kad jemputan kahwin di atas meja.
Ramai sungguh orang nak kahwin! Tapi kalau buat besar-besaran, lepas tu bercerai buat apa? kutuk hatinya sambil tersenyum sinis. Argh! Perasaan cemburu mula menyelinap ke dalam dirinya apabila melihat ramai anak perempuan kawan ibunya yang sebaya dengannya akan mendirikan rumah tangga tidak lama lagi. Sedangkan dia langsung tiada orang datang meminang. Dia meneliti satu per satu nama mereka yang bakal berkahwin, tiba-tiba dia terpaku melihat sebaris nama lelaki yang pernah menjadi pujaannya itu. Lelaki yang telah menolak cintanya dulu.
Asyraf Kamil bin Ilyas! Hatinya mula tertanya-tanya siapa gerangan gadis itu?
"Hah! Alisa Zahira binti Ahmad Lutfi?!" jerit Lina sambil matanya masih terpaku memandang kedua-dua baris nama itu. Dia seakan-akan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Ibunya, Puan Zainab sedikit tersentak dengan jeritan anak perempuannya itu terus berpaling.
"Kau ni dah kenapa sebut nama Alisa?" tanya Puan Zainab sambil melihat kad jemputan yang dipegang oleh anak perempuannya itu.
"Tak ada apa-apa mak... Tak sangka kawan satu kelas Lina dulu dah nak kahwin," jawab Lina menggelabah. Sakit hatinya!
Puan Zainab hanya menggeleng.
"Apa nak peliknya? Kawan sebaya kau semua dah nak mendirikan rumah tangga, tapi kau tu jangan kan nak kahwin, tapi langsung tak ada lelaki nak berkawan dengan kau. Perangai kau tu! Cuba ubah sikit!" bebel Puan Zainab sambil memasukkan benang ke dalam jarum mesin jahit. Anak perempuannya langsung tidak membantu dia dan suami untuk tambah pendapatan.
"Alah, mak ni! Ke situ pula membebel. Orang bukannya tak ada orang nak, tapi orang malaslah layan budak-budak lelaki kat kampung ni. Bukannya ada masa depan pun!"
Puan Zainab hanya diam, malas hendak bertekak dengan anaknya itu.
Mata Lina masih melekat pada dua baris nama di atas kad jemputan kahwin itu. Perasaan benci dan dendam terus menular dalam hatinya. Nampaknya Alisa Zahira seorang perampas! Aku benci dia! jerit hatinya. Dia mula teringatkan perbualan antara dia dan Asyraf setahun yang lalu.
"Saya minta maaf, Lina. Saya memang tak boleh terima cinta awak. Lagipun saya hanya anggap awak kawan biasa. Tak lebih dari itu." Asyraf mula menjelaskan hal sebenar dan menolak cinta gadis itu dengan cara baik.
Lina yang duduk di bangku menghadap keindahan pantai ketika itu tersentap. Sampai hati Asyraf menolak cinta aku mentah-mentah! herdik hatinya. Matanya mula berkaca-kaca. Tidak sangka setelah begitu lama dia memendam perasaan terhadap lelaki itu, akhirnya lelaki yang disanjung itu menolak cintanya! Dia betul-betul kecewa.
"Saya dah lama sukakan awak, Asyraf. Saya ingat perhubungan kita selama ini lebih daripada seorang kawan. Tapi nampaknya saya hanya bertepuk sebelah tangan." Dia mula menyeka air matanya.
Asyraf memandang Lina dengan wajah simpati. Tidak sanggup dia hendak menghancurkan hati seorang perempuan. Tapi itulah kenyataannya. Cinta tidak boleh dipaksa.
"Maafkan saya, Lina. Saya tak berniat nak menyakiti hati awak. Tapi saya harap awak faham yang cinta tidak boleh dipaksa. Walau apapun, saya tetap anggap awak kawan baik saya," balas Asyraf sambil memandang Lina.
"Awak dah ada orang lain?" Hambar sahaja suara Lina.
Asyraf hanya mengangguk tenang.
"Ya, saya memang dah ada orang lain dan saya amat mencintai dia," jawab Asyraf tenang. Dia memandang sekilas ke arah gadis itu yang mula berdiri di sebelahnya.
"Boleh saya tahu siapa gadis bertuah itu?" Hatinya betul-betul kecewa mendengar pengakuan daripada lelaki itu.
"Beginilah Lina. Buat masa ini saya tak boleh beritahu lagi siapa gadis itu. Nanti awak akan tahu juga. Okeylah, mari saya hantar awak balik sekarang. Sebab dah lewat ni. Nanti apa pula orang kata." Asyraf Kamil mula mengatur langkah menuju ke keretanya. Lina mula menurut dari arah belakang.
Hatinya benar-benar remuk. Ingin sahaja dia duduk di tepi pantai dengan lelaki itu, biar terus ditangkap khalwat! Biar padan muka betina itu! Dia yang sebenarnya merampas Asyraf Kamil dari aku! jerit hatinya sambil mendengus geram.
Lamunan Lina terhenti. Dia mula memikirkan cara untuk membalas dendam terhadap Alisa Zahira. Otaknya ligat berfikir mengenai rancangan yang bakal dibuat nanti. Biar hatinya puas! Dia mula tersenyum sendirian.