SEPANJANG perjalanan pulang ke rumah Erin, tiada siapa pun bersuara. Tegang semacam suasana di dalam SUV itu. Radio pun tidak dibuka. Dari tadi radio itu senyap sahaja. Memang jenis yang tidak mendengar radio agaknya polis-polis ni. Di tempat duduk pemandu, Bob melayan perasaan bengangnya terhadap Sam. Begitu juga isterinya, Aziah kerana melibatkan mereka berdua dalam masalah percintaannya dengan isteri orang. Isteri orang, Sam Elit Hitam?! Awak tu segak tampan. Ramai je anak dara yang mahukan awak. Tapi isteri orang juga yang awak gilakan!
Di sebelah Bob, Sam selamba sahaja walaupun hatinya gundah. Dia tidak menyedari perasaan kawan-kawannya itu. Kalau sedar pun bukannya dia peduli, terutamanya ketika dia sedang resah memikirkan tentang nasib masa depan Erin, yang pada masa itu sedang menyibukkan dirinya membuat nota mental tentang barang-barang yang perlu diambilnya dari rumah yang menjadi neraka hidupnya sejak dua tahun yang lalu. Dokumen peribadi dan fail perniagaan wajib diambil. Pakaian jangan lupa, walaupun dia berhasrat untuk menukar penampilannya selepas hari itu supaya tidak dikenali. Apa lagi? Hmmm... mungkin seutas dua rantai emas untuk dijadikan talian hayat semasa dia kepupusan wang. Itu pun rantai emas yang dibeli dengan duit sendiri. Barang kemas pemberian Badrul tidak akan dibawa. Buat apa? Emas dan permata itu bersalut darahnya sendiri, yang Badrul hadiahkan kepadanya setiap kali penyesalan menghambat lelaki tak guna itu selepas membelasahnya hingga separuh mati.
Puas hati dengan keputusannya, Erin memikirkan tentang arah tujuannya pula. Bila keadaan sudah tenang nanti, dia akan menyewa rumah di Shah Alam juga walaupun sewanya mungkin agak mahal. Yang penting, Badrul takkan terfikir yang dia berani menetap di situ lagi.
Hebat betoi otak hang, naa... . Awat tak dok kat sebelah rumah dia teruih? Dah hang kata dia takkan terpikiaq nak cari hang kat situ, hah... pi dok betoi-betoi kat sebelah rumah dia. Laaagi dia tak terpikiaq!
Tak payahlah nak sarkastik!
Mau tak sarkastik! Hang tu bodoh sangat. Pi la dok tempat lain. Bandaq kat Malaysia ni banyak. Hang pilih ja asaikan bukan Shah Alam. Yang hang nak dok jugak kat Shah Alam tu pasaipa? Cuba hang jawab.
Jujur kata, Erin tidak tahu mengapa lokasi itu juga yang dipilihnya. Mungkin kerana dia sudah biasa di situ. Sudah selesa. Sepuluh tahun mereka berdua hidup di Shah Alam. Kawasan itu sudah sebati dengannya. Berpindah ke tempat baru menakutkannya.
Jebon yang belasah hang tu hang tak takut pulak?
Tergugat juga niatnya hendak menetap di Shah Alam bila teringatkan kekejaman Badrul. Nantilah. Bila kepala otaknya sudah tenang nanti, barulah dia akan fikir ke mana dia hendak duduk. Buat masa ini dia tidak boleh buat keputusan lagi. Selain rumah sewa, Erin sedar dia juga perlu membeli sebuah kereta untuk kemudahannya pergi ke mana-mana. Tidak perlu kereta mahal atau kereta baru. Kancil terpakai pun cukup, asalkan boleh bergerak.
Namun, semua itu perancangan untuk hari esok dan hari-hari selanjutnya. Untuk hari ini bagaimana? Di rumah siapa dia hendak menumpang? Kawan-kawannya adalah isteri kepada kawan-kawan Badrul. Bahaya jika menumpang di rumah mereka. Ibarat keluar dari mulut harimau dan masuk ke dalam mulut buaya. Lagipun, kawan-kawan Badrul tidak akan percaya Badrul tergamak mencederakannya. Mati hidup balik mereka tidak akan percaya kerana di hadapan mereka, Badrul tunjuk bagaimana kasih dan cintanya dia terhadap Erin. Melambung-lambung dia memuji Erin di hadapan kawan-kawannya. Siapalah yang akan percaya bahawa lelaki penyayang seperti Badrul itu sebenarnya seorang pendera?
Kawan-kawan lain Erin tidak kenal. Semuanya kawan-kawan maya, yang 'ditemuinya' di Facebook atau di Whatsapp sahaja. Hanya Sam Elit Hitam seorang sahaja yang datang berjumpa dengannya. Mencarinya. Itu pun disebabkan dia tidak muncul-muncul selama tiga hari. Cuba dia ada sahaja di Facebook, tidak pernah hilang. Pasti pertemuan hari ini tidak terjadi.
Erin bersyukur. Walaupun hampir mati dia dikerjakan oleh Badrul, namun hikmahnya sangat besar. Dia dapat berjumpa dengan Sam Elit Hitam; lelaki yang selama ini dianggapnya sebagai wira yang sangat gagah perkasa dan hari ini, Sam telah membuktikan bahawa anggapannya itu benar belaka, malah Sam lebih hebat daripada yang difikirkannya. Sekian lama dia berdoa agar dapat melihat gambar lelaki itu. Hendak tengok mukanya sahaja. Cukuplah. Apa Allah buat? Allah hantar orangnya kepada Erin. Takdir Allah itu membuatkan Erin tersenyum sendiri. Cuma dia tertanya-tanya, apakah hikmah di sebalik pertemuan ini.
Sam memerhati Erin melalui cermin di luar SUV itu. Dia tahu Erin sedang susah hati memikirkan tentang rancangan masa depannya. Keputusan yang dibuat memang senang; keluar rumah untuk selamatkan diri dari suami yang kuat mendera tetapi ke mana harus Erin pergi? Ke mana?
Ipoh. Jawab hatinya sendiri.
Mudah baginya memantau dan melindungi Erin jika Erin tinggal berhampiran dengannya. Dia akan mencarikan rumah sewa untuk Erin. Mungkin dia boleh memujuk Aziah dan Bob untuk membenarkan Erin menumpang di rumah mereka buat sementara waktu. Sampai hujung bulan sahaja. Selepas itu Sam akan membawa Erin pindah ke rumah sewa yang berdekatan dengan rumahnya sendiri. Itu pun untuk beberapa bulan sahaja. Habis sahaja iddah, Erin pindah masuk ke rumahnya pula sebagai permaisuri hidupnya yang sah.
"Aziah, boleh tak aku mintak tolong kau bantu Erin berkemas?" ujar Sam sebaik sahaja Bob memberhentikan kenderaan di bawah sebatang pokok tidak jauh dari rumah Erin. Dia hendak bercakap dengan Bob sebenarnya.
"Eh, tak apalah. Tak apa, Aziah. Bukan banyak pun barang-barang yang saya nak bawa," bantah Erin. Dia tidak mahu menanggung dosa kerana membawa Aziah masuk ke dalam rumah tanpa keizinan Badrul. Sudahlah tadi dia keluar rumah pun tanpa izin. Lagipun, dia nampak muka Aziah berubah bila disuruh oleh Sam tadi. Sam pun satu... mana boleh suruh-suruh orang begitu. Kalau Sam lebih berpangkat daripada Aziah sekalipun, dia kena ingat yang ini bukan urusan kerja. Ini urusan peribadi. Janganlah dicampur adukkan.
"Tak apa. Saya tolong awak," putus Aziah. Berbual dengan Erin adalah cara terbaik untuk mengenali wanita yang digilai oleh Sam itu dengan lebih mendalam lagi. Tertarik hatinya untuk mengetahui kehebatan Erin sehingga Sam tidak mampu mengawal diri. Setakat yang dia nampak, Erin biasa-biasa sahaja. Tidak hebat mana pun. Itu yang membuatkan hatinya semakin kuat untuk mengetahui rahsia Erin.
Walaupun berat hati untuk membenarkan Aziah masuk ke dalam rumahnya, Erin anggukkan kepala. Mereka segera ke rumah Erin. Sam menunggu sehingga kedua-dua orang wanita itu hilang dari pandangan, barulah dia membuka mulut memberitahu Bob tentang rancangannya.
"Ohhh... tak boleh, bro... tak boleh!" Bob menggeleng sambil mengangkat dua tangannya seperti gaya orang yang menyerah kalah. Melampau! Sudahlah dia dan Aziah berasa tertipu kerana hanya diberitahu tentang status Erin semasa mereka sudah hampir sampai ke rumah wanita itu, sekarang Sam mahu mereka menyembunyikan isteri orang di rumah mereka pula.
"Kau ni dah kenapa sebenarnya, Sam? Hurmm? Tak boleh fikir dah? Kau sedar tak tadi kau hampir bunuh suami dia? Sekarang kau nak larikan dia pulak. Kalau kereta ni kereta aku, memang aku tak bagi dia ikut kita tapi ini kereta kau. Aku boleh cakap ajelah. Nak tegah kau memang taklah. Aku faham sangat dengan perangai degil kau tu. Tapi nak tinggalkan dia kat rumah aku, mintak maaf. Tak boleh!"
"Tolonglah, bro!"
Bob terus menggeleng. Dia menjauhkan dirinya dari Sam dan bersandar di bahagian belakang SUV itu, berhampiran dengan tayar belakang.
"Macam budak-budaklah, kau ni... duduk jauh-jauh."
Bob terus menggeleng. Telefon bimbitnya dikeluarkan dan sepenuh tumpuan diberikannya kepada gajet itu, enggan bercakap dengan Sam lagi.
"Mana semangat setiakawan kau, bro?" Sam memprovokasi.
"Takde, takde, takde..." Bob menggeleng lagi.
Sam berpeluk tubuh. Dipandangnya Bob dengan tajam, kemudian dia kalihkan matanya ke arah rumah Erin pula. Apa lama sangat ni? Masak ke apa dia orang ni?
Di dalam rumah, Erin mengambil enam buah fail yang menyimpan rekod perniagaan dan juga dokumen peribadinya dari dalam bilik komputer. Aziah pula berada di dapur setelah meminta izin untuk minum. Sebenarnya dia hendak melihat-lihat sahaja. Keadaan dapur seseorang mampu memberikan gambaran yang tepat mengenai personaliti tuan rumah. Puas hati dengan apa yang dilihatnya, Aziah ke ruang tamu, meneliti satu per satu potret Erin dan Badrul yang diletakkan dalam bingkai cantik yang disusun kemas di atas meja dinding di ruang tamu. Agak terkejut juga dia apabila melihat rupa sebenar Erin. Cantik juga rupanya Erin ini. Hitam manis. Mata galak. Renungannya menggoda. Patutlah Sam terpikat.
"Awak nampak bahagia dalam foto ni," komen Aziah bila Erin muncul semula di ruang tamu, ingin tahu sejauh mana dalamnya hubungan Erin dengan Badrul melalui jawapan Erin nanti. Semuanya dilakukan demi melindungi Sam. Jika dirasakannya Erin masih mencintai Badrul dan apa yang berlaku di antara Erin dengan Badrul itu hanya bersifat sementara, dia akan memberi pendapat bernasnya kepada Sam. Yalah, suami isteri mana yang tidak bercakaran? Dan Sam... dia perlu belajar untuk menjauhkan diri.
Erin merapati Aziah selepas meletakkan fail-fail yang diambilnya dari bilik komputer di atas lantai, berhampiran dengan pintu masuk utama. Potret yang Aziah maksudkan itu direnungnya lama-lama. Agak tersayat hatinya bila melihat gambar dirinya sendiri yang sedang ketawa tak ingat dunia. Tidak ada secalit kesedihan pun pada wajahnya semasa itu. Kesakitan, apatah lagi. Ada satu gambar yang diambil secara curi, di mana dia sedang asyik berbual dengan seseorang dan Badrul yang duduk di sisinya, merenung ke arahnya dengan penuh rasa cinta. Obses. Memang Badrul obses mencintainya. Sekarang... Erin tidak tahu ke mana cinta Badrul pergi. Dahulu, Erin suka sangat tengok potret-potret itu tetapi sekarang... hanya mengundang duka di hatinya.
"Foto-foto lama ni. Memang masa ni kami tengah bahagia."
"Maaf saya tanya, ada orang ketiga ke?"
"Tak ada." Erin menggeleng. Kemudian dia berfikir sebentar, cuba mencari ayat yang sesuai sambil mengusap-usap bibir atasnya yang mula berasa sakit semula. Tadi kebas. Mungkin ubat bius yang disuntik semasa doktor hendak mencuci dan menjahit luka itu sudah habis. "Sekarang ni memang dia ada kekasih gelap. Empat orang kalau tak silap." Erin tergelak kecil. Kening Aziah terangkat sedikit, tidak nampak di mana lucunya pengakuan tulus Erin itu. "Dulu tak ada. Dulu sayalah isteri, sayalah kekasih terang gelap dia." Erin ketawa lagi. Hanya dia sahaja yang memahami maksud kata-katanya itu. "Tapi sejak dia sakit, macam-macam hal dia buat."
"Dia sakit apa? Sihat aje saya tengok tadi."
"Tiga serangkai... . Psikologi... ."
"Psikologi? Gila?"
"Takdelah sampai ke tahap tu... ."
"Ye ke?"
Erin hanya tersenyum tawar. Terkilan hatinya bila mendengar nada sinis dalam soalan yang Aziah lontarkan. Suka atau tidak, Badrul tetap suaminya. Selagi ikatan itu masih ada, hatinya tetap akan terasa bila Badrul dicerca.
"Habis tu?" Aziah ingin tahu.
"Tak tahu macam mana nak cerita." Sebenarnya Erin tahu. Cuma, dia rasa tidak perlulah dia mengaibkan Badrul lagi di hadapan Aziah yang nampaknya sudah menyimpan tanggapan buruk terhadap Badrul. Cukuplah dengan apa yang telah berlaku di hospital tadi. Cukuplah dengan apa yang Aziah tahu.
Menyedari Erin enggan meneruskan topik itu, Aziah membuka topik lain pula. "Dah plan ke mana awak nak pergi lepas ni?"
"Balik ke rumah mak bapak saya dulu sementara nak cari rumah sewa."
Sudah Erin fikirkan tadi semasa berada di dalam bilik komputer. Itu sahaja alternatif yang dia ada; menumpang buat sementara waktu di rumah ibu bapanya. Mudah dan murah. Itu pun jika mereka mengizinkan. Harap-harapnya mereka izinkanlah. Dia juga berharap, kali ini ibu bapanya akan mendahulukannya dan tidak memaksanya mengikut Badrul balik ke Shah Alam sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini. Dia berharap sangat walaupun dia yakin ayah akan memberikan nasihat kegemarannya bila Badrul datang untuk membawa Erin balik. Tempat seorang isteri di sisi suaminya, nasihat ayah. Ya! Erin tahu... tetapi tengoklah juga suami yang macam mana, ayah!
Masalah besar jika ayah memenangkan Badrul lagi. Ayah sayang sangat pada Badrul, sedangkan Badrul membenci ayah. Membenci emak. Erin tidak dapat bayangkan betapa hancurnya hati serta perasaan emak dan ayah jika mereka tahu gelaran hina yang sering Badrul berikan kepada mereka. Erin tidak dapat bayangkan dan tidak mahu bayangkan!
"Saya tak ada kawan. Tak kenal sapa-sapa. Tu yang tak tahu nak mintak tolong kat siapa bila jadi macam ni," sambung Erin lagi.
Aziah cuba sedaya upaya menahan diri dari berasa kasihan kerana dia belum dapat memastikan keikhlasan jawapan Erin. Benarkah bagai yang Erin kata atau bicara itu sekadar ayat untuk mengikat jiwanya sahaja?
"Jom ikut saya ke bilik tidur," ajak Erin, terlupa pada larangan Badrul yang tidak membenarkan orang luar masuk ke dalam bilik tidur mereka itu. Dia hendak bersembang. Sudah lama dia tidak berbual dengan sesiapa. Dekat dua tahunlah juga.
Wei, hang biaq betoiii... kalau nak nyembang pun biaq la lepaih keluaq dari rumah ni. Hang ingat ni drama ka? Sat lagi jenglot tu balik, baru hang tau!
Lintasan fikirannya itu membuatkan Erin risau tetapi dia abaikan sahaja perasaannya itu.
"Mak bapak awak duduk kat mana?" Aziah menduga. Tekaannya tersasar jauh. Mati-mati dia ingat Erin hendak mengikut Sam balik ke Ulu Kinta, rupa-rupanya Erin hendak balik ke rumah orang tuanya. Tetapi tidak mustahil ibu bapa Erin tinggal di Ipoh. Kira ikut Samlah juga.
"Pulau Pinang."
"Kenapa cakap awak tak macam orang Penang pun?"
Erin tersenyum. Semua orang yang baru ditemuinya akan berkata begitu. Memang dia tidak pernah bertutur dalam loghat utara. Lidahnya kekok.
"Bibir saya kan koyak." Sekali lagi Erin mengusap-usap bibirnya. Sakitnya berdenyut-denyut pula sekarang. "Susah nak cakap loghat Penang dengan mulut bengkak macam ni."
Aziah mengangguk, menerima jawapan Erin yang agak logik itu.
"Taklah... saya masuk asrama penuh masa umur saya 13. Di KL. Kat sana, semua orang bercakap guna slang KL. Saya pun terikut-ikut. Habis sekolah menengah, saya terus masuk UiTM, Shah Alam. Habis UiTM, kerja... kahwin... duduk balik kat Shah Alam. Memang tak sempatlah nak jadi orang Penang." Erin tersenyum sambil melipat dan memasukkan pakaiannya ke dalam beg. Aziah membantunya.
Mereka terdiam seketika.
Keluaq, Erin... keluaq cepat!
"Aziah... saya tahu awak tak senang dengan saya." Erin terus mengabaikan lintasan fikirannya.
"Eh, tak adalah..."
"Alah... saya tahu. Saya faham. Saya isteri orang. Semua orang akan rasa macam tu."
Aziah diam.
"Tapi awak dengan Bob salah faham. Saya kawan aje dengan Sam. Kami sembang biasa-biasa aje. Saya sanjungi Sam. Saya hormat pada dia dan... saya terhutang budi pada dia."
"Sebab?"
"Lahad Datu."
"Oh! Eh, kenapa pulak? Awak asal dari Sabah ke?"
"Taklah. Saya Penang pure. Tapi sejak Ops Daulat, baru saya kenal VAT69 Komando. Baru saya tahu pengorbanan para perwira negara dan keluarga mereka. Sangat-sangat terhutang budi pada kalian semua sebab bermati-matian menjaga kedaulatan negara. Hari ni pulak, Sam, awak dan Bob dah selamatkan nyawa saya. Lagilah saya rasa terhutang budi. Kalau awak semua tak datang tadi, mungkin saya dah tak ada kat dunia ni."
Aziah diam, membiarkan Erin terus bercerita, meluahkan segala-gala yang terpendam dalam hatinya. Lebih kurang sesi soal siasatlah juga. Cuma dalam suasana yang lebih relaks.
"Memang kami selalu chatting di Facebook dan di Whatsapp tapi kami jaga batas. Saya sedar saya isteri orang. Dia pun sedar status saya tu. Kami tak pernah buka topik yang boleh... ermm... buat saya jadi isteri yang curang. Demi Allah saya tak pernah curang pada suami saya. Sama ada dengan Sam atau dengan orang lain. Dan saya nak awak percaya, Sam... apa yang dia buat hari ni, semuanya sebab saya kawan dia. Dia kan macam tu orangnya. Sangat ambik berat fasal kawan-kawan dia. Itu je. Tak lebih daripada tu."
Aziah membuka mulut tetapi mengatupnya semula. Dia sudah lama mengenali Sam. Dia tidak tersalah baca tentang perasaan lelaki itu terhadap Erin. Memang Sam gilakan Erin. Obsesinya sudah sampai ke tahap kritikal. Tahap boleh bunuh orang. Badrul tadi mujur tidak mati. Mujur ada orang yang sedarkan Sam sebelum dia mematahkan leher Badrul. Kalau tidak... tidak dapat Aziah bayangkan apa yang akan terjadi. Namun, Erin nampaknya percaya mereka sekadar berkawan. Jadi Aziah biarkan sahaja, tidak jadi memberitahu Erin tentang apa yang dia tahu.
Diam-diam Aziah perhatikan Erin. Mula terdetik rasa kasihan dalam hatinya. Di fikiran, dia meletakkan dirinya di tempat Erin. Mungkin dia juga akan jadi bodoh seperti Erin, tidak tahu hendak buat apa kecuali mengikut telunjuk suami yang tidak berperikemanusiaan. Ketakutan terhadap Badrul membuatkan Erin tidak berani membantah atau keluar rumah untuk meminta pertolongan. Malu pada jiran tetangga yang sudah pastinya mendengar raungannya setiap kali dia dibelasah, juga menyebabkan Erin lebih rela berkurung di dalam rumah yang memang tidak dinafikan, lengkap sempurna. Sekurang-kurangnya di dalam rumah itu dia tidak dilihat oleh sesiapa. Sekurang-kurangnya dia berada di dalam rumahnya sendiri. Badrul juga nampaknya tidak mengabaikan tanggungjawabnya dari segi makan minum. Di dalam peti ais mereka penuh berisi makanan. Di dalam almari makanan kering pun sama. Pakaian Erin nampak mahal. Bukan pakaian bundle yang dibeli di pasar malam.
Nampak seperti perkara biasa sahaja tetapi itulah salah satu cara psikopat seperti Badrul mengikat Erin dengan menyediakan makanan, pakaian dan tempat tinggal yang sempurna, rumus Aziah berdasarkan pengetahuannya dalam bidang psikologi yang dipelajarinya di universiti dahulu.
Namun begitu, bila melihat kesungguhan Erin untuk lari meninggalkan Badrul hari ini, Aziah yakin sudah banyak kali Erin berfikir untuk melarikan diri dari rumah itu tetapi apabila dia dibrainwash oleh Badrul tentang kesusahan yang bakal dihadapinya di luar sana, tentang syaitan bertopengkan manusia yang memang ternanti-nantikan orang seperti Erin untuk dijadikan mangsa, terus Erin batalkan sahaja niatnya itu. Sekurang-kurangnya di rumah itu dia terpaksa berhadapan dengan seorang sahaja syaitan yang bertopengkan manusia. Di luar sana, entah berapa ramai lagi yang ada, yang bakal menyusahkan hidupnya. Lagipun di rumah itu dia hidup selesa. Makan, minum dan pakainya terjaga. Jadi dia relakan sahaja penderaan yang Badrul lakukan terhadapnya. Tidak mustahil penderaan yang berlaku sekali-sekala sahaja. Mungkin dua minggu sekali, mungkin sebulan sekali atau dua tiga bulan sekali. Hadap sahajalah, bukannya selalu. Kalau dia keluar dari rumah itu, entah-entah setiap hari dia terseksa.
Logik dalam kata-kata brainwash Badrul itu menguatkan lagi keputusan Erin untuk terus hidup bersama Badrul.
Bila Sam datang untuk menyelamatkannya, Erin mula yakin bahawa kebaikan masih wujud di luar sana. Masih ada manusia yang sudi membantunya. Masih ada harapan untuknya terlepas dari neraka itu. Asalkan Sam ada bersamanya kerana Erin melihat Sam sebagai tonggak kekuatannya. Sebab itulah Erin meminta Sam menghantarnya pulang ke rumah tadi, sedangkan dia boleh balik sendiri. Dan Sam pula, apa yang dirasainya itu bukanlah semata-mata cinta tetapi sebenarnya didorong oleh rasa kasihan. Sayangnya, Sam tidak dapat membezakan kedua-dua perasaan itu, rumus Aziah lagi. Dia berjanji pada diri sendiri untuk membantu Sam menamatkan 'hubungan cinta' yang sebenarnya tidak ada itu.
"Ini ajelah kut." Erin memerhati sekeliling. "Oh... barang kemas." Erin ke almari yang sebuah lagi.
"Biar saya masukkan beg pakaian awak ke dalam kereta," tawar Aziah.
"Eh, nak buat apa?" Langkah Erin terhenti. Berpusing memandang Aziah dengan wajah keliru. "Tak apalah. Saya panggil teksi aje."
"Naik teksi balik Penang? Ah, jangan mengarut. Alang-alang kami nak ke Ipoh, baik ikut kami terus," bantah Aziah, bimbang ada yang cuba mengambil kesempatan ke atas Erin setelah melihat keadaan wanita itu. Dengan muka yang bengkak-bengkak, dengan badan yang masih lemah, tidak mungkin Erin mampu melawan jika dia diserang lagi.
"Kenapa nak pergi ke Penang?" soal Sam dari muka pintu bilik tidur itu. Dia masuk untuk melihat apa benda yang dibuat oleh dua orang wanita itu di dalam rumah sehingga tidak keluar-keluar. Matanya melata ke serata bilik. Jadi, inilah bilik tidur Erin dan Badrul, hatinya berkata-kata. Pandangannya tidak dibenarkan 'menyentuh' katil king size di dalam bilik itu. Tidak sanggup membayangkan apa yang pernah Erin lakukan bersama Badrul di situ.
"Kan rumah mak bapak saya kat sana," jawab Erin. Sam sudah diberitahu tentang asal usulnya. Takkanlah cepat benar lupa. Erin segera ke almari kedua di dalam bilik itu dan membuka pintunya. Kelihatan beberapa buah beg tangan berjenama disusun kemas di atas rak di dalam almari tersebut. Erin membawa keluar sebuah kotak baldu yang sangat cantik dari dalam almari itu, lalu diletakkannya di atas katil.
Sam yang sejak dari tadi mengekori Erin dengan matanya, terus mengalihkan pandangan ke arah lain sebaik sahaja melihat Erin menuju ke katil. Aziah yang memerhati gelagat Sam hanya mampu mengeluh dalam hati. Kasihan dia pada Sam. Jejaka itu pasti akan kecewa bila mendapat tahu bahawa Erin tidak pernah menganggapnya lebih daripada seorang kawan.
"Badrul dalam perjalanan balik," maklum Sam tiba-tiba dengan nada serius. "Doktor baru telefon."
Pergerakan Erin dan Aziah terhenti. Kedua-duanya memandang ke arah Sam dengan wajah cemas.
"Fail yang banyak-banyak kat depan tu nak bawak sekali ke?" soal Sam. Masih dalam nada serius.
Erin mengangguk. Sesaat kemudian dia mula kelam-kabut, menunggang isi kotak baldu ke atas katil dengan agak kasar. Habis barang-barang kemasnya bertaburan dan ada yang jatuh ke atas lantai. Tangannya terketar-ketar mencari dua utas rantai emas yang dibelinya sendiri. Bila jumpa, dipandangnya dua utas rantai emas itu dengan wajah keliru. Betul ke ini rantai yang aku beli, soal hatinya. Kepalanya terlalu serabut dengan berita yang dibawa oleh Sam, sehingga dia gagal membezakan rantai emas miliknya dengan rantai emas yang dihadiahkan oleh Badrul.
"Jangan panik, Erin..." tegur Sam. Terbit rasa kesal dalam hatinya.
Erin tidak membalas. Dia sudah tidak peduli lagi pada Aziah atau pada Sam. Dia hanya mahu cepat keluar dari situ sebelum Badrul sampai. Ada yang mati nanti jika Badrul balik semasa mereka masih berada di rumah itu.
"Berat tak beg tu, Aziah?" Sam memuncungkan mulutnya pada beg pakaian Erin di tangan Aziah.
"Tak."
"Ha, kau pergi bawak beg tu ke SUV. Aku bawak fail. Erin, cepat!" Sam mendepakan tangannya ke arah Erin, yang ketika itu sedang mengaut barang-barang kemas yang bertaburan di atas katil lalu memasukkannya kembali ke dalam kotak baldu. Jari-jarinya Sam kuit-kuitkan untuk menambahkan lagi tekanan yang dirasai oleh dua orang wanita itu.
Tanpa berlengah, Aziah mematuhi arahan Sam. Dia segera berlalu dari situ. Erin pula tergesa-gesa menyimpan kotak barang kemas ke dalam almari sebelum melangkah laju menuju ke pintu. Mukanya tegang. Takut.
"Jom!" katanya semasa melintas di hadapan Sam.
"Sekejap, sekejap, sekejap..." Sam memaut bahu Erin, menghentikan langkah wanita itu.
"Tapi Badrul..." Erin cuba membantah. Kerisauan hatinya tidak dapat digambarkan. Sudah terbayang-bayang di ruang matanya pergaduhan sengit yang bakal berlaku di dalam rumah itu. Badrul tidak akan datang berseorangan. Dia pasti akan membawa kaki-kaki pukul untuk membelasah Sam. Selepas itu, Badrul akan membelasah Erin pula. Memang mati dia hari itu. Mati bersama Sam!
"Abaikan dia," kata Sam lagi. Erin ditariknya lembut hingga berdiri berhadapan dengannya. Ditatapnya wajah Erin sambil tersenyum sipu. Anehnya, dia tidak lagi melihat Erin yang bermuka bengkak. Dia nampak Erin yang sentiasa berkunjung dalam mimpinya.
"Awak tipu, ya!" tuduh Erin setelah berjaya mentafsir senyuman komando itu.
Senyuman Sam semakin nakal. Erin memang cekap membaca tindak tanduknya.
"Terpaksa. Kalau tak buat macam tu, minta maaflah Aziah nak tinggalkan kita berdua-duaan macam ni."
"Jadi... memang tak ada panggilan telefon dari hospital?" Erin inginkan kepastian.
Sam menggeleng.
"Tapi tak mustahil Badrul dalam perjalanan balik ke sini, kan?"
"Oh, yang tu memang mustahil... mana boleh orang tak sedar diri balik ke rumah."
"Mana awak tahu dia masih tak sedar? Awak telefon hospital ke?"
"Saya kan komando..."
"Sam!"
"Mestilah saya telefon hospital, Cik Erin... kalau saya tak telefon, macam manalah saya nak tahu."
Erin meletakkan dua tangannya ke dada yang berdebar laju. Bersyukur. "Teruklah awak ni. Nyaris putus nyawa saya tadi!"
"Sorry. Sengaja." Sam tersenyum lagi. Ditatapnya wajah Erin dalam-dalam. Rindunya masih belum surut. Dia yakin, rindunya untuk Erin takkan surut buat selama-lamanya. "Aziah tanya apa tadi?"
"Macam-macam. Fasal saya, rumah tangga saya, ibu bapa saya." Erin menjongketkan dua bahunya. Mulutnya ditutup dengan tangan, malu ditatap oleh Sam.
"Apa awak jawab?"
"Apa yang dia nak dengar."
Sam merenung Erin yang membalas renungannya. Erin buat muka suci, namun renungannya sarat dengan maksud yang tersirat. Perlahan-lahan Sam tersenyum. Faham.
"Duduk dekat rumah saya."
"Dekat rumah awak atau duduk dengan awak?" usik Erin.
Senyuman Sam melebar. "Sabar, Cik Erin... sabar... kita buat satu-satu dulu."
"Eee... teruklah awak ni. Orang usik ajelah!"
"Saya serius," balas Sam.
"Hurmm..." Erin mengerlingkan matanya ke atas. "Awak nak saya duduk kat Ulu Kinta?" Dia menukar topik.
Sam mengangguk. "Senang saya nak jaga awak."
"Awak nak jaga saya?"
Sekali lagi Sam mengangguk. "Sampai ke syurga."
Erin cuba mentafsir maksud kata-kata Sam itu. Dia rasa dia faham, cuma kepastian itu perlulah keluar dari mulut Sam sendiri. Sebelum ini mereka tidak pernah membicarakan soal hati. Tidak ada sebab pun hendak berbual tentang perkara yang mustahil. Lebih baik mereka tumpukan perbualan pada perkara-perkara yang selamat diperbualkan sahaja, yang tidak mengundang prasangka atau memberikan harapan kepada sesiapa. Masalahnya, bila sudah rasa seronok berbual, bila tengok teman berbual pun berkongsi pandangan yang serupa, sedikit sebanyak tumbuh juga satu perasaan terhadapnya. Erin mengakui dia menyimpan perasaan terhadap Sam, sebagaimana dia menyimpan perasaan terhadap Brad Pitt. Cuma Sam wujud di depan matanya. Brad Pitt pula...
Kalau hang nak ghasa kena ganyang dek Angelina Jolie-Pitt, hang pi la ngorat laki dia!
Dan hari ini, Sam meluahkan rasa hatinya dan menuntut Erin melakukan yang serupa.
"Awak ni ajak saya bernikah ke apa?"
Sam tersenyum lagi. Inilah salah satu sebab mengapa dia jatuh hati pada Erin. Wanita itu berbeza daripada perempuan-perempuan lain. Kalau Erin tidak faham atau tidak pasti, dia tidak akan berdiam diri dan membuat spekulasi. Dia terus lontarkan soalan. Kalau ada sesuatu yang dia rasakan perlu diluahkan, dia akan luahkan. Dia tidak akan merajuk atau cakap berlapik dengan niat untuk menyindir atau memberi hint. Sam paling menyampah kalau dia terpaksa meneka perasaan orang. Tak teka, merajuk. Salah teka pun merajuk. Cakap ajelah! Yang peningkan kepala dia buat apa? I'm not a mind reader!
"Ya, Cik Erin Farhana. Saya nak bernikah dengan awak. Sudi tak?"
"Sam..." Erin kehilangan kata-kata. Sam nampaknya yakin dengan jalan yang bakal Erin pilih, sedangkan Erin sendiri masih belum tahu apa yang dimahukannya. Kejadian baru sangat berlaku. Situasi masih kacau. Kepala Erin pun masih kacau. Buat masa ini Erin hanya mahu memastikan dirinya selamat dahulu. Dia mahu pergi jauh dari Badrul supaya suaminya tidak dapat menyeksanya lagi. Bagaimana, entahlah. Dia pun tidak tahu. Badrul tidak akan membiarkannya hidup bahagia. Pembetulan! Badrul tidak akan membiarkan dia hidup. Noktah!
Erin belum mahu mati lagi. Belum!
"Buat masa ni awak belum boleh lagi cakap benda-benda macam ni pada saya, Sam. Saya masih isteri orang."
"Bukan sekarang. Lepas tu lah..."
"Saya tak boleh fikir sekarang ni, Sam. Betul-betul tak boleh fikir. Biar saya uruskan dulu apa yang patut saya uruskan. Lepas tu baru kita boleh sembang."
"Enam bulan."
"Untuk apa?"
"Bereskan masalah awak tu."
"Sammm... enam bulan tu sekejap aje, tau tak?"
Enam bulan tidak cukup. Dia memerlukan sekurang-kurangnya setahun. Mungkin dua. Dia pernah membaca beberapa kisah tentang bagaimana susahnya para isteri hendak mendapatkan talak daripada suami masing-masing. Selepas beratus-ratus kali turun naik pejabat agama, turun naik mahkamah, kaunseling... barulah dapat. Itu yang bernasib baik. Ada setengah-setengahnya tidak dapat langsung talak yang dimahukan. Bertahun-tahun digantung tidak bertali oleh suami yang kejam. Salah siapa bila situasi seperti ini terjadi? Salah Islam?
Islam tidak bersalah. Islam tidak susah. Lumrah manusia, suka menyusahkan benda yang mudah.
"Boleh? Enam bulan? Nak seribu daya," kata Sam lagi.
Bunyi deringan telefon membantutkan hasrat Erin untuk menjawab soalan yang Sam lontarkan. Sam tengok layar telefon bimbitnya. Bob yang menelefon. Serta-merta Sam melepaskan sebuah keluhan. Dia tahu Bob marah kerana dia memperdayakan Aziah tadi.
"Bro, kejap, bro... kejap lagi aku explain." Sam bercakap melalui loud speaker. Dia sedar dia bersalah kerana mengkhianati Aziah.
"Lebih baik kau keluar sekarang, bro," ujar Bob dengan nada suara yang membuatkan bulu roma Erin merinding. "Keluar sekarang! Bawa Erin sekali!"

ANDA SEDANG MEMBACA
Takkan Ku Lepaskan Dia
RandomCinta atau Benci? Kalau benar-benar cinta, mengapa hanya derita yang Erin rasa? Tidak cukupkah lagi luka dan parut yang Badrul hadiahkan pada tubuh badannya itu sebagai bukti derita? Namun, mengapa mereka masih lagi bersama? Cinta? Isteri mana yang...