Kedai kopi Lebai Misai sudah agak lengang. Ada beberapa meja kosong di kawasan yang dilindungi atap zink. Cikgu Asyraf mengatur langkah malas-malas ke arah meja panjang tempat lauk-pauk terhidang dan bersedia untuk diceduk. Hanya tiga-empat jenis lauk yang tinggal. Waktu makan tengahari sudah berlalu. Pengunjung-pengunjung biasa di kedai itupun sudah tidak kelihatan. Mungkin mereka sudah pulang ke rumah masing-masing untuk berehat.
Cikgu Asyraf mengeluh perlahan bila terlihat hanya gulai ikan kembung, sambal ikan bilis dan ikan cencaru goreng yang jadi pilihannya. Nafsunya seakan mati sejak mendengar berita dari mulut Cikgu Murni pagi tadi. Tapi ulu hatinya sudah mula pedih-pedih, dia terpaksa juga menjamah makanan sebagai alas perut.
"Baru nak makan ke, cikgu?"
Cikgu Asyraf berpaling dan terlihat Haji Omar sedang menghisap rokok dengan segelas kopi pekat di hadapannya. Seorang lelaki tua, berjanggut putih dan berketayap hijau duduk di sebelahnya.
"Ya, Haji. Lepas sekolah tadi saya pergi beli barang kejap. Dah pukul 3 baru nak makan tengahari."
Selepas mengambil makanan, Cikgu Asyraf terus duduk sekali dengan Haji Omar dan rakannya.
Sebaik sahaja dia duduk, Haji Omar menepuk belakangnya dan berkata, "Kenalkan, ini Tok Ramli, ketua kampung ni." Lelaki berjanggut putih di sebelahnya tersenyum lalu menghulur tangan. "Arwah ayah Tok Ramli ni dulu tukang rumah. Dia yang tolong bina rumah yang cikgu duduk sekarang," cerita Haji Omar.
"Mesti banyak sejarah di rumah tu," kata Cikgu Asyraf, tiba-tiba teringatkan gangguan-gangguan yang diceritakan oleh Lan Mesir dan Ramona.
"Macam-macam," sambut Tok Ramli lalu tersenyum memperlihat barisan giginya yang sudah banyak lopong.
"Di situlah arwah datuk saya, Haji Baharom Muda diserang orang-orang kampung sebab dia dituduh jadi barua komunis," cerita Haji Omar pula. Cikgu Asyraf terlopong sebentar. Dia terlupa langsung tentang kisah Haji Baharom Muda yang khabarnya mati merempat di dalam hutan akibat fitnah.
"Sampai ke akhir hayat, arwah ayah saya masih terkilan dengan nasib arwah Haji Baharom Muda. Dia banyak jasa pada kampung ni, tapi jadi mangsa fitnah." Tok Ramli menggeleng kesal.
Haji Omar dan Tok Ramli terus bercerita tetapi Cikgu Asyraf tidak lagi mendengar. Matanya kini tertumpu pada keratan akhbar yang tertampal di dinding kedai kopi itu. Dia berhenti makan lalu bangun dan berjalan menghampiri berita itu. Selama beberapa minit dia berdiri tercegat di situ, membaca berita itu berulang kali.
Bila dia kembali ke meja, Cikgu Asyraf termenung panjang. Nasi di pinggan tidak dijamah.
"Cikgu baru tahu pasal drebar teksi yang kena bunuh tu ke?" soal Haji Omar dengan muncungnya terjuih ke arah keratan akhbar di dinding. Cikgu Asyraf mengangguk dengan wajah yang kelihatan suram.
"Rosdi," kata Cikgu Asyraf sepatah. Dia melemparkan pandangan kosong ke arah jalan raya.
"Ha'ah, dalam suratkhabar kata namanya Rosdi, bekas banduan. Nasib baiklah sebatang kara. Kalau ada anak bini, tak tahulah macamana nasibnya." Haji Omar menghembuskan asap rokok sebelum menenyehkan puntung berapi di dasar ashtray.
"Dah ditakdirkan dia mati macam tu," ujar Tok Ramli.
"Tapi ni mati kena bunuh, Tok. Tak jauh dari kawasan kita pulak tu. Sekarang kita tak tahu pembunuh tu dari mana. Mungkin orang luar, mungkin juga orang daerah sini. Sebab dia dibunuh pun kita tak tahu. Mungkin dendam lama, mungkin sebab bergaduh..."
"Mungkin ada yang berhasad dengki," sambung Cikgu Asyraf sebelum Haji Omar menamatkan ayatnya.
"Biarlah polis yang siasat. Kita jagalah rumah kita, keluarga kita," kata Tok Ramli yang nampaknya tidak mahu memikirkan sangat peristiwa ngeri itu.

ANDA SEDANG MEMBACA
CIKGU ASYRAF - sebuah cerpan Dayang Noor
Mystery / ThrillerSebuah misteri kampung yang melibatkan pembunuhan. Cerpan (cerita panjang) ini mula-mula dicetak dalam buku "II" yang dilancar di Big Bad Wolf Disember 2016 dan kini dah soldout. Cerpan ini kini disirikan di Wattpad untuk mengelakkan harga pasaran...