Tepat pukul 1.50 petang, aku dah kena masuk dalam bilik mesyuarat tu. Punyalah sakit perut aku, sementara nak menunggu Mr. Grey tu masuk. Tak tahulah helah apa aku nak bagi pada Kak Ain. Takkan aku nak cakap sakit perut pada hari pertama aku bekerja? Memang Kak Ain tabuh akulah. Sia-sia dia ambil aku kerja gara-gara sekampung. Takkan nak bagi malu orang sekampung!
Berdoa sajalah, Nisa...
Rabbi yassir wala tuassir!
Mak aku pernah ajar dulu, ada sepotong ayat surah Yasin tu kalau kita baca, orang yang cari kita, tak akan nampak kita. Selalu aku guna bila aku balik lambat dari keluar outing. Tak ada pak guard nak kejar aku. Tapi lepas dah habis sekolah ni, mana nak ingat. Aku duduk asrama pun masa aku sekolah tingkatan satu sampai lima. Masuk tingkatan enam, selepas arwah abah dan adik aku meninggal, aku ulang-alik saja. Apa eh ayat tu? Tu la hang, Nisa. Banyak makan semut! Takkan nak baca satu surah kot? Macam baca untuk aku yang nak mati saja!
"Ingat, kau tengok saja bawah. Tak payah nak eye contact dengan sesiapa, tak payah nak bagi reaksi muka apa-apa. Faham? Meeting ni, Tan Sri pun turun tau!"
Aku angguk-angguk saja. Eye contact apa? Aku sembur Mr. Grey tu selamat dah tadi macam buka air pili bomba. Memang kau kena start baca surah Yasinlah, Nisa!
Tak lama kemudian, Mr. Grey masuk. Terus aku tunduk, pandang ke tepi. Aku tak rasa dia perasan aku. Bila aku mendongak, Mr. Grey duduk betul-betul depan aku, sebelah Kak Ain. Lega sikitlah hati aku sebab aku tak duduk bertentangan dengannya. Nasib baik belakang.
Elok aku nak berpuas hati...
Tiba-tiba...
"Siapa perempuan berkurung dan berkerudung kelabu belakang saya ni?"
Aku tersentak. Terus aku menunduk. Aku ingat dia tak perasan aku!
"Staf baru, PA yang saya minta tu."
"Ohhh..."
"Nisa Ardina. Asal dari Pendang, Kedah. Lulusan STPM."
"Baru masuk kerja hari ni?"
"Yes, Mr. Grey."
"Good. Now you can work better, Ain. Tak ada alasan lagi kaki tangan tak cukup kan? Saya dah bagi extra kaki, tangan dan mulut untuk awak..."
Extra kaki, tangan dan mulut tu...
Macam perli aku saja.
Aku menelan air liur.
Habis dah stok air liur aku nak telan ni!
"Thank you, Mr. Grey."
Baru aku nak menarik nafas...
Tiba-tiba...
Mr. Grey menoleh pandang aku.
Aku tersentak. Terus menunduk.
"Hi, welcome to Puncak Angkasa. Kerja rajin-rajin ya, Nisa."
"Errr... Terima kasih, Mr. Grey."
Sebutlah Mr. Grey. Dah semua orang panggil dia Mr. Grey. Nama dia kot, Grey tu. Takkanlah sebab baju dia warna kelabu? Haih... Dahlah pakai T-shirt lagu tu, manalah orang nak sangka dia tu bos besar! Pagi tadi, dia pakai kain pelekat kot! Ya, kain pelekat petak-petak warna kelabu. Apa hal entah dia dengan warna kelabu! Saja nak mengelabukan mata aku ke apa?
"Sekarang awak tahu saya siapa..."
"Tau dah!"
"Good. Nanti..."
Belum sempat Mr. Grey nak habiskan kata-katanya, ramai orang besar-besar masuk. Mr. Grey terus bangun dan menyalami semua. Kata-katanya terus terhenti.

YOU ARE READING
MR. GREY
General FictionPENULIS: SYAMNURIEZMIL TAJUK MR. GREY TERBITAN: MEI 2017 MUKA SURAT: 960 HARGA: RM 34 (SM)/RM 37 (SS) "Malique Gregory Kamal bin Grey Muslim..." "Saya..." "Aku nikahkan dikau dengan anak saudara aku, Nisa Ardina binti Nizar dengan mas kahwinnya seb...