Bab 6

4.3K 134 2
                                        

MENONONG masuk ke dalam kereta, Arlina diam tanpa suara.

Zarief yang melihat tertanya sendiri apakah yang telah berlaku. Wajah keruh Arlina menjadi sasaran matanya sejak wanita itu melangkah keluar dari bangunan tempat kerja Hafif lagi.

"Dah?" Itu yang Zarief soal sebaik menghidupkan enjin kereta dan mengenakan tali pinggang keledar.

Masih tanpa suara, Arlina hanya angguk perlahan. Dia mahu cepat pergi dari situ. Supaya bayang Hafif mampu dia usir. Supaya kecelaruan hatinya saat ini boleh ditenangkan dengan sepantas mungkin.

Kereta bergerak dengan kelajuan sederhana kerana jalan raya agak sesak, sesesak dada Arlina waktu ini. Di luar sana riuh dengan bunyi enjin dan hon kereta tetapi di dalam ini sunyi dan sepi.

Tiba-tiba mata Arlina nampak jemari orang sebelah menghulurkan tisu. Pantas dia berpaling ke kanan.

Tapi pandangan orang sebelah tetap fokus ke depan, pada pemanduan. Beberapa ketika sisi wajah yang tenang itu menjadi sasaran mata Arlina.

"Along....saya tak menangis," luah Arlina.

Zarief menoleh sekilas. Memang dia tahu Arlina tak menangis. Tapi dia juga tahu hati Arlina sedang menangis.

"Kalau awak rasa mahu menangis...."

"Saya tak perlu menangis untuk orang yang tak tahu menghargai."

Zarief terus terdiam.

Arlina peluk tubuh dan turut diam. Dia sebenarnay tak minta lebih. Cukuplah Hafif menghargai dirinya dan perkahwian mereka. Tapi, ternyata yang sikit itu pun Hafif tak mampu tunaikan, bagaimana pula mahu ditunaikan janji-janji yang sangat besar yang dilafazkan dulu?

"Macam mana awak boleh terlibat dengan Hafif?" Tiba-tiba Zarief bersuara. Menanyakan soalan yang Arlina sendiri tidak tahu jawapannya.

Bukankah jatuh cinta itu kerja Tuhan? Bagaimana dan macam mana ia datang memang teramat sulit untuk dihuraikan.

"Jatuh cinta tak perlu alasan." Perlahan saja suara Arlina, tanpa menoleh ke arah orang sebelah yang menanti jawapan.

"Dan dia lukakan hati awak juga tanpa alasan." Zarief membalas. Bukan bermaksud mahu menyindir atau menyakitkan hati tetapi mahu Arlina sedar, menjadi hamba cinta itu perkara terbodoh dalam hidup.

Kali ini, kata balas Zarief berjaya menarik Arlina untuk berpaling. Nafas ditarik panjang sebelum kembali menalakan pandangan ke depan.

"Along... boleh tolong saya?"

Zarief berpaling, mencari wajah Arlina. Tetapi yang mahu meminta tolong terus bekukan pandangan ke arah jalan raya.

"Tolong minta adik along tu lepaskan saya."

Sekali lagi bicara Arlina buat Zarief terdiam. Adakah Arlina sedang waras saat membuat permintaan tersebut?

"Tak ada jalan lain ke?" Zarief mahu menduga.

"Semua jalan sudah tertutup." Sangat tegas suara Arlina menjawab.

Ya! dia sudah berfikir sepuluh juta kali. Mungkin bukan dia yang Tuhan tulis untuk mengubah Hafif menjadi imamnya yang sempurna. Dia angkat tangan menyerah. Harapnya, biarlah episod ini segera berlalu.

Jika ditanya, dia tak pernah menyesal mengambil keputusan mengahwini Hafif walau disajikan dengan kegagalan. Cuma dia terkilan kerana apa yang diharapkan tidak menjadi satu kenyataan.

SENTUHAN KECUNDANGWhere stories live. Discover now